Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan/ustaz, saya baru sahaja dikurniakan cahaya mata perempuan. Saya ingin menamakannya Nur Hafiya. Mengikut carian google nama tersebut bermaksud (nur - cahaya) dan (Hafiya - sangat baik). Adakah makna itu tepat mengikut bahasa arab dan tatabahasanya? Jika ya maksud nama itu sedemikian, sy berhajat ingin meneruskan dengan nama itu. Sekian sahaja, maklum balas pihak tuan/ustaz amatlah saya hargai, terima kasih..
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, Islam sangat menggalakkan agar umatnya meletakkan nama yang baik pada anak-anak, nama yang baik tidak terhad hanya dalam bahasa Arab sahaja kerana nama yang baik boleh terhasil daripada pelbagai bahasa selain daripada bahasa Arab, selagi ia memberi maksud yang baik sekalipun bukan dalam bahasa Arab maka ia tetap dikira sebagai nama yang baik. Hal ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Darda' RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya kamu akan dipanggil pada hari Kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu, maka perelokkanlah nama-nama kamu. (Hadits riwayat Abu Daud dan Ahmad).
Berhubung makna Nur Hafiya adalah sangat baik dan tiada masalah dengan maknanya.
Kata "Hafiya" berasal dari akar kata Arab "حَفِيّ" (hafiyy) yang bermaksud seseorang yang sangat menjaga, memberi perhatian, atau menghargai dengan penuh kasih sayang dan lembut. Ia merujuk kepada kebaikan yang penuh perhatian dan keprihatinan yang halus. Dalam beberapa penggunaan, "Hafiya" juga membawa konotasi tentang orang yang sangat memuliakan atau menghormati orang lain dengan penuh kasih sayang. Jika digabungkan, "Nur Hafiya" membawa makna cahaya yang memelihara atau penuh kasih sayang.
Di samping nama yang baik didiklah anak dengan ajaran Islam yang sempurna agar nama yang baik dihiasi dengan akhlak Islam yang baik juga.
Sekian, terima kasih.