Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya. Umum diketahui darah hukumya najis . Saya pernah terbaca bahawa hingus atau kahak berwarna kuning adalah disebabkan bercampur dengan darah putih yang melawan jangkitan. Adakah darah putih juga najis. Adakah hingus yg bercampur darah putih itu juga dikira najis?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, sel darah putih adalah bukan najis dalam pengertian agama atau biologi. Sel darah putih adalah komponen penting dalam sistem imun manusia dan berfungsi untuk melawan jangkitan dan melindungi tubuh daripada penyakit. Dalam biologi, sel darah putih ini beredar dalam darah dan tisu untuk melawan kuman seperti bakteria dan virus. Dalam konteks agama Islam, kahak dan hingus, termasuk yang berwarna kuning, tidak dianggap sebagai najis. Kedua-duanya adalah cecair badan yang dihasilkan secara semula jadi oleh tubuh manusia, khususnya sebagai sebahagian daripada sistem pernafasan untuk melindungi dan membersihkan saluran udara daripada habuk, kuman, dan bahan-bahan asing.
Menurut kebanyakan pandangan ahli fiqh, kahak dan hingus adalah bersih (tidak najis) dan tidak membatalkan wuduk jika keluar dari hidung atau mulut. Oleh itu, sel darah putih tidak najis serta hingus dan kahak juga tidak bernajis.
Sekian, terima kasih.