BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.. apa hukum isteri minta cerai pada suami yang selalu melakukan dosa yang selalu dianggap ringan seperti merokok dan sebagainya?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, ingin dikongsikan terlebih dahulu hadis yang diriwayatkan oleh Tsauban RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا طَلاقًا فِي غَيْرِ مَا بَأْسٍ فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الْجَنَّة  

Maksudnya: Siapa saja wanita yang meminta (menuntut) cerai kepada suaminya tanpa alasan yang dibenarkan maka diharamkan bau surga atas wanita tersebut. (Riwayat Abu Dawud, al-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Dalam hadis yang lain Ibn Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَبغَضُ الحَلاَلِ إلى اللهِ عزَّ وجلَّ الطَّلاَقُ

Maksudnya: Perkara halal yang paling dibenci Allah adalah talaq. (Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadis ini, seseorang wanita (isteri) haram meminta (menuntut) cerai terhadap suaminya kecuali terdapat sebab yang dibenarkan oleh syarak. Menurut mazhab Shafi'i, seorang isteri boleh menuntut fasakh melalui qadi atau mahkamah disebabkan oleh kekurangan suaminya antaranya gila (berkekalan atau sekejap), suami menzalimi isteri, memudaratkan isteri dan sebab-sebab lain yang dinyatakan.

Umum mengetahui bahawa perbuatan merokok boleh membawa kepada kemudaratan bukan sahaja kepada perokok itu sendiri, malah kepada orang sekelilingnya. Berdasarkan kepada fatwa yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor pada tahun 1996 telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dan perbuatan merokok adalah dikira sebagai berdosa.

Namun begitu, semata-mata suami merokok, meninggalkan solat atau dosa-dosa lain yang bersifat peribadi bukanlah suatu sebab yang diiktibar syarak untuk dituntut perceraian melainkan kefasikan suami itu memberi kesan kepada si isteri. Contohnya, suami mengarahkan isteri menghidangkan arak, atau menyuruh perkara-perkara maksiat yang lain. Maka ketika ini, isteri tidak boleh mentaati suami dan juga boleh membuat tuntutan perceraian kerana memudaratkan pegangan agama isteri.

Dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 berkaitan "Pembubaran Perkahwinan", antara sebab syarak yang membenarkan tuntutan fasakh dibuat adalah apabila suami menghalang isteri daripada melakukan kewajipan syarak. Selain itu, pihak Mahkamah juga mempunyai autoriti untuk menentukan kes-kes tertentu sebagai sebab untuk pembubaran perkahwinan termasuk isu suami yang tidak melazimi tuntutan syarak ini.

Disarankan agar sebaiknya isteri menasihati suaminya terlebih dahulu dan berbincang dengan baik dalam bab ini demi kesejahteraan dan kesihatan bersama. Sekiranya suami masih tidak mahu bertolak ansur atau menerima nasihat tersebut, maka isteri bolehlah merujuk ke mahkamah.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 18

message user image