Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum.
Saya ada pertanyaan. Situasinya begini:
Mak(Umur 63 tahun) saya tinggal berdua dengan adik lelaki saya di rumah mak. Sejak akhir-akhir ni, adik saya bawa balik kawan perempuan (GF) dia. Sebelum ni adik lelaki saya belajar di JB dan kenal dengan kawan perempuan (GF) ni. Sekarang GF dia menetap di rumah mak saya. Dia dan GF dia bekerja sekitar bandar. Jadi sekarang mereka bertiga dengan mak dan adik lelaki saya.
Keadaan mak saya ada penyakit kencing manis dan berjalan menggunakan tongkat. Mak saya tidur di dapur. GF adik saya pula tidur di bilik belah hadapan (ruang tamu). Adik lelaki saya tidur di dapur. Saya sudah beberapa kali mintak GF dia keluar cari rumah sewa lain tapi ada adik beradik saya yang minta GF dia tinggal disitu dengan alasan boleh menjaga mak saya yang tidak sihat.
Persoalan saya. Salahkah saya meragui adik saya dan patutkah saya membiarkan tinggal bersama-sama dirumah bersama? Jika perlu dimana perlu saya laporkan atau dapatkan nasihat untuk mereka bertiga.
Jawapan
Menjawab soalan yang diajukan, berdasarkan kepada situasi yang dinyatakan, ia boleh membawa kepada perbuatan berkhalwat yang menjadi suatu kesalahan di dalam Seksyen 29 [1], Enakmen Jenayah Syariah Selangor iaitu:
Mana-mana—
(a) orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya;
(b) orang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya,
di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Tindakan saudari menegur dan meminta perempuan tersebut tinggal di tempat lain atau menyewa rumah yang lain adalah tindakan yang betul dan tepat, dan untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut disarankan untuk saudari menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Negeri terdekat dengan kadar segera.
Sekian, terima kasih