BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. soalan ini minta dijawab oleh ustazah. saya segan nak berurusan dengan ustaz. saya ada masalah mak mertua suka masuk campur urusan hal keluarga kami suami isteri. dah 2 kali mak mertua call mak saya. 1) kata saya ada masalah ke dengan suami saya. 2) mertua agak bagi amaran berbaur " kalau nak hidup lama dengan suami saya kena ada lesen". ustazah... memang saya ada kelemahan iaitu tak boleh nak naik kenderaan motor dan kereta. tapi saya tak pernah pun susah kan keluarga belah suami. tapi saya di kata seperti itu melalui mak saya sedangkan saya tak pernah usik2 keluarga mertua atau ipar duai sekalipun. saya dah pernah ambil lesen tapi sering gagal. kalau suami free dayshift dan tak ot dia ambil dan hantar saya. jika suami ada hal atau ot atau nightshift ayah saya akan ambil saya. apa patut saya buat ustazah.. saya tak nak rumah tangga saya hancur dan saya juga tak berapa gemar dengan sikap mertua asyik call mak saya jika dia tak berapa senang dengan saya. semua pertanyaan atau luahan hati mak mertua atau keluhan beliau tak pernah direct whatsapp atau tanya direct kepada saya. semua tu melalui mak saya. sila beri kan saya cadangan dan pendapat untuk saya teruskan hidup dan membangunkan diri saya.

 

Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Berdasarkan kepada luahan hati puan, didapati mertua puan merupakan seorang yang suka menyibukkan diri dan mengambil tahu keadaan puan. Walau bagaimanapun sikap sedemikian telah menimbulkan rasa tidak senang dan mengganggu privasi puan sendiri bersama suami. Tambahan pula sikap terus mengadu kepada ibu puan tanpa pengetahuan puan, sudah tentu mengeruhkan hubungan sesama mertua-menantu dan juga besannya.  

"Ada lesen" bukanlah rukun dalam pernikahan. Lama atau singkat, hidup atau mati jodoh puan dengan suami juga tidak dapat dijamin dengan lesen. Memiliki lesen kenderaan adalah satu kemahiran/ilmu lain dalam kehidupan. Tidak boleh dikaitkan dengan hal suami isteri. Sepatutnya perkara ini tidak menjadi masalah besar pun, jika sudah tahu menantu belum mempunyai lesen, mertua sudah tentu tahu anaknya akan menghantar dan mengambil isteri di tempat kerja. Itu juga menjadi peranan seorang suami menjaga keselamatan dan pelindung bagi isteri.

Alternatif yang suami dan ayah puan lakukan sekarang adalah baik jika tiada campur tangan pihak lain. Adapun, usaha puan untuk mengambil semula lesen adalah amat digalakkan lebih-lebih lagi untuk menghadapi urusan hidup seharian. Ia juga sebagai nilai tambah untuk diri puan. Namun, permohonan lesen akan mengambil masa, cadangan lain adalah puan boleh menggunakan pengangkutan awam atau perkhidmatan berbayar seperti Grab/maxim/inDrive dan seumpamanya. Puan kena bertabah memiliki ibu mertua yang sangat proaktif terhadap urusan puan. Sekurang-kurangnya puan memiliki ibu bapa kandung yang prihatin dan sentiasa ada dikala memerlukan bantuan. Jika masih berterusan, sebaiknya puan boleh terus bersemuka dengan mertua untuk menerangkan keadaan puan, supaya perkahwinan yang dibina tidak dikelilingi aura negatif dan persekitaran yang tidak sihat untuk mental dan emosi puan secara tidak langsung ia mendera secara halus melalui kata-kata yang sinis.  

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 11

message user image