Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan/Puan, saya ingin mohon pencerahan mengenai cerai taklik.
Bagaimana kalau si suami tulis melalui whatsapp ‘kalau kau maki aku lagi, aku ceraikan kau’.
Soalan pertama saya;
Apakah langkah seterusnya yang perlu si isteri lakukan ? Perlukah dia pergi ke pejabat agama untuk pengesahan atau rekodkan cerai taklik ni?
Soalan kedua saya;
Bolehkah si isteri mohon batalkan cerai taklik ini pada si suami & kes ini boleh diselesaikan antara mereka berdua sahaja atau perlu pergi ke pejabat agama untuk tindakan selanjutnya ?
Maklumbalas dari pihak Tuan/Puan amatlah saya hargai.
Jawapan
Lafaz talak yang ditulis melalui aplikasi whatsapp tersebut adalah lafaz taklik dalam bentuk kinayah iaitu lafaz yang tergantung kepada niat suami ketika menulis perkataan tersebut, seandainya suami berniat talak, maka jatuhlah talak namun sebaliknya seandainya suami tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku.
Oleh yang demikian, langkah yang puan boleh lakukan adalah disyorkan agar puan merujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57, memandangkan urusan pengesahan perceraian adalah merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Untuk makluman puan juga, lafaz taklik yang diucapkan tidak boleh ditarik balik atau dibatalkan.
Sekian, terima kasih