Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum WBT,
Saya ingin bertanyakan soalan tentang poligami. Patutkah kita sebagai ibu melarang anak-anak dari menghubungi bapa mereka pada ketika bapa mereka dalam giliran isteri lain? Anak-anak yang saya maksudkan adalah yang belum baligh. Adakan lebih baik melerang mereka menghubungi bapa mereka saat bapanya di giliran isteri lain?
Mohon pencerahan.
Terima kasih.
Jawapan
Poligami bukanlah menjadi penghalang dan alasan untuk tidak memenuhi hak-hak anak, sebab tidak ada perpindahan kewajiban. Ibu tetaplah menjadi ibu, dan ayah tetaplah ayah yang memiliki kewajiban yang sama walaupun ayah telah poligami. Oleh yang demikian, di dalam Islam tiada larangan bagi anak-anak untuk menghubungi, berkomunikasi atau berinteraksi dengan bapa mereka sekiranya bapa mereka berada bersama isteri yang lain, kecuali ayah mereka reda dan rela agar tidak menyinggung hati ibu tiri mereka.
Namun begitu hubungan kekeluargaan terutama ibu bapa tidak boleh dibatasi dengan larangan-larang yang boleh membataskan dan menjarakkan ikatan hubungan tersebut dan Islam juga menganjurkan anak-anak untuk berbuat baik kepada ibu dan bapa mereka sebagaimana yang telah dinyatakan melalui firman Allah SWT dalam surah al Isra' ayat ke 23 :
Yang maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya kamu tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah kamu berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah kamu menengking (menyergah) mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”
Sekian, terima kasih