Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum , saya disini ingin bertanyakan soalan mengenai lafaz taklik .
1. Si isteri baru lepas melahirkan dan dalam keadaan berpantang ketika itu dan mendapati suaminya sudah menipu dan berahsia banyak kali sehingga isterinya meroyan tak tentu arah dan berbalah dengan suaminya dari pagi buta hingga esok hari . keluarga si suami juga ada untuk tenangkan si isteri . Di hari yang sama si isteri meminta dan memaksa suaminya untuk membuat lafaz taklik secara lisan seperti ( saya berjanji tidak akan menipu lagi , tidak akan berahsia tentang benda yang menyakitkan hati , tidak akan curang , tidak akan chat perempuan lain , jika saya langgar maka jatuh talak 1 ) . Tetapi si suami mengaku dia terpaksa dan tidak ada niat untuk lafaz taklik kepada isterinya dan ingin tenangkan isterinya .
Soalannya di sini , adakah taklik itu sah kerana suami melafazkan taklik itu dalam keadaan terpaksa ?
2. Adakah talak akan jatuh jika melanggar semua janji taklik itu atau salah satunya sahaja ? Contoh taklik : ( saya berjanji tidak akan menipu lagi , tidak akan berahsia tentang benda yang menyakitkan hati , tidak akan curang , tidak akan chat perempuan lain , jika saya langgar maka jatuh talak 1 ) .
3. Si suami membuat lafaz taklik secara lisan seperti (saya tidak akan chat perempuan lain , tidak akan jumpa perempuan lain , jika saya langgar maka jatuh talak 1 ) . Jika si suami chat atau berjumpa dengan ibu atau keluarga perempuannya adakah tetap dikira "perempuan lain" dan jatuh talak 1 itu ?
4. Jika si suami pernah melafazkan taklik tetapi si suami dan isterinya tidak ingat tentang apa taklik yang dilafazkan itu , adakah tetap jatuh talak jika dilanggar ?
5. Si isteri dapat tahu suami melihat video perempuan seksi di telefonnya , dan mereka berbalah hebat sehingga si isteri memaksa suami nya untuk membuat lafaz taklik sebegini (saya janji tidak akan tengok video perempuan dengan sengaja, jika saya langgar maka jatuh talak 1) . Si suami terpaksa melafazkan taklik tersebut atas desakan isterinya kerana tidak mahu berbalah lebih panjang lagi . Tidak lama itu si suami ada tengok drama atau video yang ada perempuan , adakah jatuh talak 1 tersebut ?
6. Jika si suami membuat lafaz taklik seperti (saya janji tidak akan menipu lagi jika saya langgar maka jatuh talak 1) . Selepas itu si suami menipu tiga kali , adakah jatuh talak 1 tiga kali juga ?
Sekian itu sahaja soalan yang ingin saya tanya , saya amat mengharapkan balasan jawapan untuk saya ketahui , terima kasih , assalamualaikum .
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan:
1. Lafaz talak merupakan suatu lafaz yang berlaku sekalipun diucapkan secara main-main, gurauan dan sebagainya berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Tiga perkara yang berlaku sama ada dilakukan secara serius atau main-main iaitu nikah, cerai dan rujuk. (Riwayat al-Tirmizi)
Situasi yang disebutkan di atas iaitu untuk menenangkan isteri bukanlah suatu bentuk paksaan yang diiktiraf oleh syarak. Paksaan yang dimaksudkan dalam syarak adalah paksaan yang melibatkan perkara dhoruriyyat seperti nyawa, harta dan seumpamanya. Sehubungan dengan itu, taklik yang diucapkan adalah sah sekiranya lafaz talak diucapkan adalah sah. Puan dinasihatkan agar merujuk perkara ini di Pejabat Agama Islam terdekat bagi mendapatkan kepastian.
2. Bergantung kepada lafaz yang diucapkan, sekiranya ucapan tersebut diucapkan dengan maksud 'pilihan' seperti menggunakan perkataan 'atau', maka taklik sah sekiranya suami melakukan salah satu dari perkara tersebut. Namun, jika lafaz yang digunakan adalah 'dan', maka taklif hanya akan sah jika suami melakukan kesemua perkara yang diucapkan itu.
3. Perkara yang termasuk dalam lafaz talak adalah bergantung kepada 'uruf. Hal ini berdasarkan kaedah fiqhiyyah:
العادة محكمة yang bermaksud (Adat memberi hukum). Perkataan 'perempuan lain' yang difahami oleh masyarakat kita adalah wanita ketiga atau seumpamanya dan bukannya wanita yang mempunyai hubungan kekeluargaan, atau mahram.
4. Lafaz taklik adalah sah selama-lamanya dan tidak terbatal sehinggalah perkara yang di'taklik'kan itu dilakukan.
5. Jawapan bagi isu terpaksa adalah seperti jawapan soalan no 1.
6. Isu 'menipu' yang terdapat lafaz taklik tersebut boleh membawa pelbagai maksud dan tafsiran. Berdasarkan zahir soalan, sekiranya suami melakukan perkara yang di'taklik'kan itu maka jatuh talak 1 dan taklik tersebut terbatal. Bagi menyebabkannya jatuh talak kali kedua, lafaz taklik itu perlu diucapkan semula.
Puan perlu mendapatkan pengesahan di Mahmakah Rendah Syariah sekiranya berlaku perlanggaran lafaz taklik.
Sekian, terima kasih.