BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya nak bertanya. Bolekah saya mengharamkan duit yang telah dipinjamkan atas alasan orang yang diberi hutang itu membahayakan diri saya setiap kali dia ingin membayar hutangnya.Walaupun si penghutang itu berkata dia akan bayar tetapi ianya macam acuh tak acuh sedangkan dia tidak susah dan mempunyai duit untuk membayarnya . Setiap kali bila dia membayar juga saya akan dimaaki, diugut dan dihina. Penghutang itu berhutang dengan ahlong tetapi menggunakan alamat rumah ibu bapa saya. Sy hanya memberikan hutang itu kepadanya kerana ah long sudah hampir nak serang rumah ibubapa saya. Saya tak nak halalkn pinjaman itu kepadanya kerana saya sangat takut kepada penghutang tersebut yang agresif dan manipulatif itu akan mengapa-apakan saya dan ibu bapa saya.  Hutang yang diberi kepadanya dulu  juga adalah demi keselamatan saya dan kedua ibu bapa saya daripada ahlong


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan,

Secara umumnya setiap hutang mestilah dilangsaikan mengikut kadar hutang yang disepakati antara pihak yang berhutang dan juga pemiutang. Hal ini berdasarkan Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 282:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).

Adalah menjadi kewajipan pihak yang berhutang untuk memulangkannya dengan adab dan akhlak yang baik, tanpa menyusahkan atau menyakiti pihak yang memberikan hutang. Namun begitu, sekiranya berlaku sebarang penganiayaan oleh pihak yang berhutang maka ambillah langkah-langkah untuk menjaga keselamatan seperti memaklumkan kepada pihak berkuasa atau mendapatkan nasihat undang-undang, terutama kerana ugutan dan ancaman ini boleh membawa kesan serius.

Adapun berkenaan status tidak meredhai hutang tersebut, maka ia bergantung kepada pemiutang. Pemiutang berhak untuk tidak menghalalkan hutang yang diberikan kerana hutang yang diberikan adalah dari harta pemiutang. Namun galakan yang ada dalam Islam adalah pemiutang adalah menghalalkan hutang tersebut berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 280

وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيْسَرَةٍ ۚ وَأَن تَصَدَّقُوا خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesulitan, maka berilah tempoh hingga dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang) itu lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.
Menghalalkan hutang dai sudut ini adalah lebih kepada keselamatan diri dan keluarga, semoga dengan menghalalkan hutang tersebut Allah SWT akan membuka hati orang yang berhutang untuk berhenti menyakiti anda dan keluarga.

Ayat ini menunjukkan bahawa mengampunkan hutang (dengan niat bersedekah) adalah suatu amalan yang sangat besar ganjarannya. Allah SWT berjanji bahawa bersedekah dan memberi kelonggaran dalam urusan hutang adalah lebih baik bagi orang yang melakukannya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, Terima Kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 12

message user image