Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya menyemak cara mandi hadas besar anak perempuan saya dan dia mengatakan dia berdiri ketika mandi dan menggunakan tangan nya untuk membasuh dan meratakan air ke bahagian kemaluan belakang dan hadapan di bawah air pancuran dan dia yakin air rata di bahagian tersebut.
Menurut kefahaman nya syarat mandi hadas besar ialah meratakan air ke seluruh badan dan dia tidak tahu mencangkung itu satu keperluan.
Saya rasa khuatir akan masalah ini kerana bimbang akan ibadah ibadah nya sebelum ini andai mandi nya tidak sah, tambahan pula 7 tahun lalu kami pernah menunaikan umrah dan dia telah mandi hadas besar setelah kering haid ketika masuk ke mekah kerana hendak melakukan umrah.
Andai mandi hadas besar nya tidak sah ada kah dia di kira masih di dalam ihram.
Minta pencerahan
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, antara rukun rukun mandi wajib adalah meratakan air keseluruh anggota badan termasuk kulit dan bulu-bulu yang terdapat di badan. Memadai dengan perbuatan tersebut menjadikan mandi wajibnya sah walaupun tidak mencangkung kerana ia bukan termasuk dalam kategori rukun mandi wajib. Hendaklah meyakini cara mandi wajibnya adalah sah dan semua ibadah yang dilakukan selepas waktu tersebut adalah sah.
Sekian, Terima kasih.