BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya seorang yang berpenyakit was-was dan sering terlintas perkara atau kata2 yang tidak baik dalam fikiran saya akibat dari penyakit was-was ini. Pada beberapa hari lalu, saya sedang bergurau dengan isteri saya dan terjadi perkara yang menimbulkan persoalan. keadaannya adalah seperti berikut:

Isteri saya sedang menyanyi lagi yang terdapat lirik "biarkan aku pergi", lalu saya bergurau dengannya mengatakan "haa pergilah kalau nak pergi sangat, pergi." Maka pada ketika perbualan itu berlaku, terdetik satu lintasan hati mengatakan " kerana awak bukan lagi isteri saya/kerana kita dah bercerai". Saya tidak pasti antara dua ayat tersebut tetapi lebih yakin dengan ayat yang pertama.

Persoalan saya, adakah telah berlaku lafas cerai secaya kinayah yang berserta niat dan menyebabkan jatuh talak pada isteri saya. Saya sememangnya tidak langsung berniat atau betul2 mahu ceraikan isteri saya. lintasan itu berlaku akibat penyakit was2 yang melanda diri saya yang di mana lintasan2 seperti ini berlaku pada ketika ada ruang untuk menyebabkan perkara buruk contohnya seperti lintasan mahu kufur atau lain2. Jadi saya mohon penjelasan perkara ini sebab ini menimbulkan masalah dalam kehidupan harian saya. Adakah boleh untuk menganggap perkara ini tidak menyebabkan jatuh talak kerana ini bukan apa yang saya betul2 mahukan bahkan hanya lintasan hati atas sebab gangguan syaitan atau mental yang tak dikira sebagai niat?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, lafaz tersebut adalah lafaz kinayah atau kiasan iaitu lafaz yang tergantung kepada niat suami ketika menuturkan perkataan tersebut, seandainya suami berniat talak, maka jatuhlah talak namun sebaliknya seandainya suami tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku, dan tuan diuji dengan perasaan was-was atau perasaan syak dan ragu-ragu yang mana Islam tidak menetapkan sesuatu hukum berdasarkan rasa syak, ragu-ragu, sangkaan atau tidak pasti. Firman Allah SWT di dalam surah Yunus ayat 36:

إِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا

Maksudnya: sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran. 

Begitu juga kaedah fiqah yang mengatakan:

اليَقِين لَا يُزَالُ بِالشَّكّ

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihilangkan dengan syak (keraguan).

Oleh itu, seandainya seseorang itu tidak pasti sama ada berniat talak ataupun tidak ketika melafazkan perkataan atau ayat yang berbentuk kinayah, atau dia sendiri tidak pasti lafaz yang diucapkan, maka ia tidak memberi apa-apa kesan kepada ikatan perkahwinan.

Dalam perkara ini, tuan perbanyakkan lah doa kepada Allah SWT agar diberi kekuatan untuk melawan perasaan was-was serta sibukkan lah diri dengan kerja yang sedia ada dan perbanyakkan zikir agar tidak banyak masa dan ruang kosong yang membolehkan syaitan membisikkan perkara-perkara yang tidak baik dan sebagainya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 8

message user image