Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ada beberapa soalan,
1.Berkenaan najis mughallazah
1.1 Benarkah ain najis yang telah dihilangkan (tanpa sertu) tiada lagi perpindahan najis apabila disentuh ?
1.2 Sesuatu yang tidak digunakan semasa beribadah tiada wajib disertu melainkan cukup sekadar dihilangkan ainnya ?
1.3 Sekiranya "B" benar, bagaimana pula dengan permukaan lantai yang sering kali dilalui ?
1.4 Apakah diwajibkan sertu sekiranya percikan dan aliran air bercampur tanah atau air mutlak semasa sertu dilakukan terkena pada diri ?
1.5 Hukum najis yang terkena pada lidah atau tubuh haiwan lain seperti kucing.
1.6 Apakah boleh menggunakan kain sekiranya ruang terlalu luas perlu disertu dan bagaimana caranya ?
2.Berkenaan hukum akidah
2.1 Percaya bahawa bawang putih adalah pelindung dan dapat menghalau makhluk halus.
2.2 Percaya hari baik dan hari buruk.Contoh, 2/12/24 adalah hari baik dan 9/12/24 adalah hari buruk.
2.3 Berpindah ke rumah baru hendaklah pada hari tertentu.Semasa berpindah mestilah mendahulukan makanan bagi mengelakkan rezeki daripada tidak bertambah.
3.Soalan tambahan
3.1 Apakah boleh mempromosikan alat permainan sekiranya jenama yang terlekat pada permainan termasuk dalam senarai boikot ?
3.2 Pada kebiasaannya,tempat keluarnya najis kucing dikatakan berbau.Jika begitu apakah ia dianggap najis ?
3.3 Bagaimana cara untuk menjaga kucing yang tinggal di dalam rumah ?
Saya sangat menghargai komitmen dan dedikasi yang diberikan .
Terima kasih
Jawapan
Bagi menjawab soalan yang diajukan:
Soalan 1:
1.1 Jika memang ain najis itu telah hilang dalam keadaan tiada bau, rasa dan warna maka ia dianggap sebagai najis hukmi. Najis hukmi tidak memindahkan najis.
1.2 Tidak wajib sertu sesuatu yang tidak digunakan untuk beribadah. Walau bagaimanapun, jika sesuatu barang itu digunakan dalam rumah atau kegunaan seharian, maka perlulah disertu dan dibersihkan kerana Islam mementingkan kebersihan.
1.3 Permukaan lantai di dalam rumah perlulah dibersihkan dan disertu bagi menjaga kebersihan dan kesucian rumah.
1.4 Tidak wajib sertu disebabkan percikan air atau tanah.
1.5 Jika pada lidah dianggap bersih kerana kesukaran untuk mengenalpasti keberadaan najis. Ini bertepatan dengan kaedah "asal sesuatu adalah bersih". Manakala najis pada badan kucing, jika najis diketahui dan kelihatan maka bahagian badan terkena najis adalah bernajis dan perlu dibersihkan.
1.6 Kain hanya digunakan untuk hilangkan ain najis sahaja. Gunakanlah kain yang kering kemudian sertu atau bersihkan permukaan lantai tersebut dengan air (jika najis mutawassitah) atau air bercampur tanah (jika najis mughallazah).
Soalan 2:
2.1 Jika percaya bawang putih itu yang mempunyai qudrah dan kuasa tersendiri untuk menghalau makhluk halus, maka ia adalah syirik. Kepercayaan yang sebenar adalah percaya bahawa Allah SWT sahaja yang mempunyai kuasa. Akan tetapi, tiada masalah untuk menggunakan bawang putih sebagai ikhtiar mengelakkan gangguan makhluk halus. Secara adatnya, Allah SWT meletakkan beberapa manfaat kepada sesuatu benda untuk digunakan.
2.2 Percaya adanya hari tertentu sebagai hari yang buruk adalah sebuah kesyirikan. Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Tiada penyakit berjangkit yang berjangkit dengan kekuasaannya sendiri, tiada nasib buruk, tiada kesialan dan juga tiada perkara buruk berlaku pada bulan Safar.
2.3 Kepercayaan mendahulukan makanan bagi mengelakkan rezeki daripada tidak bertambah semasa pindah ke rumah baharu tiada asal dalam agama. Ianya boleh membawa kepada syirik jika percaya sebab mendahulukan makanan rezeki akan bertambah. Ini kerana ketentuan rezeki adalah kuasa Allah SWT. Walaupun begitu, tidak dinafikan menyedekahkan makanan kepada jiran di rumah baharu adalah satu perkara yang terpuji yang boleh mengeratkan persaudaraan sesama jiran.
Soalan 3:
3.1 Tiada masalah mempromosikan permainan berjenama yang diboikot selagimana pakaian yang dipakai menutup aurat dengan sempurna. Walaupun begitu, ia melanggar prinsip kita dalam memboikot untuk menunjukkan simpati kepada rakyat Palestin.
3.2 Tempat keluar najis haiwan tidak bernajis sehinggalah yakin dan tahu keberadaan najis tersebut.
3.3 Jagalah kucing dengan penuh amanah dan kasih sayang. Jauhkan kucing-kucing tersebut daripada benda yang merbahaya. Sentiasalah membersihkan rumah supaya persekitaran rumah bersih terutama bersih daripada bulu kucing.
Sekian, terima kasih.