Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Suami saya meninggal dunia pd 31hb Ogos 2024. Saya ade satu kemushkilan. Anak2 saya akan ke Johor Bharu pd 25hb Oktober 2024 utk menghadiri majlis kahwin sepupunye . Mereka akan balik semula kerumah pada 27hb Oktober. Saya rasa saya x boleh tinggal seorang dirumah. Boleh kah sekiranye saya ikut mereka tetapi tidak menghadiri majlis. Cuba menginap di hotel saja. Harap pihak tuan dapt bagi saya pencerahan.
Wassalam.
Terima kasih.
Jawapan
Batasan Hukum Semasa Dalam Tempoh `Iddah Kematian Suami.
Wanita yang kematian suami, tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja. Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang-barang keperluan asasi (sekiranya tidak ada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam.
Keharusan untuk keluar rumah ini juga hanya tertakluk pada waktu siang dan tidak pada waktu malam. Namun pengecualian diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam seperti doktor, jururawat dan sebagainya.
Bagi larangan bermusafir ia termasuk larangan untuk menunaikan ibadat fardu haji dan umrah.
Mereka juga dilarang berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal sepanjang tempoh perkahwinan. Namun sekiranya terdapat bahaya dan kemudaratan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda seperti banjir, tanah runtuh, gempa bumi dan sebagainya mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan rumah tersebut sehinggalah bahaya atau kemudaratan tersebut hilang atau dapat diatasi.
Oleh yang demikian, merujuk kepada persoalan yang diajukan, puan tidak dibenarkan untuk meninggalkan rumah yang pada kebiasaan puan tinggal melainkan dalam keadaan darurat atau terdesak. Seandainya masih ada jalan dan cara yang mana anak-anak puan boleh bergilir atau sukarela menjaga puan dalam tempoh itu, maka itu yang sewajarnya.
Sekian, terima kasih