BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Situasi: Ibubapa tinggal berdua di kampung. Bapa mengalami sakit darah tinggi, kencing manis serta sakit lupa dan sukar untuk uruskan diri. Ibu yang juga sudah menjangkau usia tua dan mempunyai sakit darah tunggi mnguruskan bapa seorang diri.

saya sebagai anak lelaki yang mempunyai anak dan isteri yang berkerja tinggal di bandar. Saya dan adik beradik yang lain sudah mengajak ibubapa untuk tinggal bersama kami akan tetapi, ibu enggan menerima pelawaan kami.

Sejak kebelakangan ini saya ade pelbagai masalah di tempat kerja dan berhasrat untuk berhenti kerja dibandar dan mencari pekerjaan di kampung. 

permasalahan pertama : adakah berdosa bagi saya untuk meninggalkan anak yang masih bersekolah dan isteri yang masih bekerja di bandar sebaliknya saya pulang ke kampung seorang diri dan mencari pekerjaan di kampung disamping dapat menjaga ibubapa saya?

 

permasalahn kedua : adakah berdosa bagi saya membiarkan ibubapa berdua yang sudah tua di kampung dengan mencari pekerjaan yang lain di bandar kerana peluang pekerjaan yang lebih banyak dari sudut pandangan saya.

 

apakah penyelesaian terbaik yang lebih sesuai bagi saya?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan:

Seorang lelaki bertanggungjawab kepada isteri dan anak-anaknya dari sudut nafkah. Manakala nafkahnya kepada ibu bapa menjadi wajib sekiranya ibu bapa itu miskin atau tidak berkemampuan. Dalam keadaan ibu bapa yang tidak sihat, mereka memerlukan penjagaan dan perhatian khusus dan perkara itu boleh diselesaikan sama ada ibu bapa tinggal bersama anak-anak di bandar atau anak-anak pulang ke kampung bagi menjaga mereka.

  • Tidak semestinya apabila seorang lelaki tidak berada bersama mereka yang berada di bawah tanggungannya, menjadikan tanggungjawab itu tidak dapat diselesaikan.

Sekiranya seorang suami berkemampuan menyediakan nafkah makan minum, tempat tinggal dan keperluan asasi yang lain untuk isteri dan anak-anaknya, maka tanggungjawab itu telah dilaksanakan walaupun dia tidak berada bersama mereka atas kekangan yang diharuskan syarak. Perkara ini dapat dilakukan apabila pihak suami terus memberikan wang ringgit dan tempat kediaman yang baik untuk keluarganya, tanpa isteri perlu bekerja dan isteri redha dengan situasi tersebut. Namun, jika suami meninggalkan keluarga, dalam keadaan isteri perlu bekerja untuk menyara kehidupan mereka di sana, maka tanggungjawab suami belum dilangsaikan.

Begitu juga dengan penjagaan terhadap kedua ibu bapa, sekalipun si anak tidak berada bersama dengan mereka, tetapi penyediaan makan minum, penjagaan kesihatan dapat disediakan dengan memberi upah kepada pihak lain bagi menjaga mereka, maka tanggungjawab itu juga telah dilaksanakan walaupun si anak tidak berada bersama kedua ibu bapa secara fizikal.

Perkara ini bergantung kepada situasi dan perbincangan yang baik antara suami, isteri, adik beradik dan kedua ibu bapa bagi mendapatkan keputusan yang terbaik.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 5

message user image