BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya ada pertanyaan untuk pihak panel berkenaan situasi di bawah:

Suami saya ada membuat perkongsian hak milik hartanah dengan adik ipar saya. Iaitu berkongsi sebuah rumah yang pada asalnya adalah milik suami saya dan kemudian adik ipar saya membayar separuh dari nilai rumah (iaitu sebanyak RM230k kepada suami saya. Atas dasar percaya, suami telah meletakkan nama adik ipar saya sebagai pemilik rumah tanpa diletakkan nama suami saya di dalam geran tersebut. Rumah tersebut telah disewakan dan hasilnya dibahagi antara suami dan adik ipar saya. Namun, adik ipar telah gagal membayar hutang bank yang dibuat olehnya untuk pembelian rumah tersebut dan ada mengaku kepada penyewa rumah bahawa suami saya bukanlah pemilik rumah tersebut kerana hanya nama adik ipar di dalam geran. Perkara ini telah menimbulkan rasa tidak percaya kepada adik ipar saya dan kerisauan di pihak suami saya. Kerana suami saya risau jika beliau meninggal dunia adik ipar akan mengambil hak rumah itu sepenuhnya atau sekiranya adik ipar berterusan gagal untuk membayar hutang bank berkemungkinan rumah akan dirampas oleh pihak bank. Suami saya telah memutuskan untuk membeli semula rumah tersebut dengan adik ipar saya (iaitu dengan membayar semula RM230k yang dibayar oleh adik ipar sebelum ini). Suami saya telah membayar kesemua hutang adik ipar yang dibuatnya di bank dahulu berjumlah RM280k. Untuk pengetahuan pihak panel, adik ipar telah membuat pinjaman peribadi sebanyak RM280k dan membayar RM230k kepada suami saya. Baki RM50k dipakai oleh adik ipar untuk kegunaan peribadinya. Jadi hutang adik ipar kepada suami saya adalah RM50k. Pada asalnya adik ipar saya bersetuju untuk membuat bayaran semula baki RM50k secara ansuran setiap bulan kepada suami. Namun keadaan menjadi sebaliknya apabila adik ipar saya mula mendiamkan diri dengan cara tidak menjawab panggilan telefon atau whatsapp apabila suami saya mula membuat tuntutan hutang tersebut.  Suami juga ada berjumpa ibu bapa adik ipar dan isterinya untuk menyelesaikan masalah ini. Namun tidak berhasil. Keadaan ini menyebabkan suami saya mengupah peguam supaya kes ini diadili. Kes ini berterusan sehinggalah pada suatu hari mereka membuat keputusan untuk berunding di luar mahkamah. Semasa sesi tersebut, adik ipar saya telah menipu di hadapan wakil mahkamah dengan mengatakan bahawa nilai rumah itu adalah RM400k seperti yang tertulis di dalam agreement (sepatutnya RM460k, RM230k setiap seorang). RM400k hanya ditulis di dalam agreement untuk mengelak cukai yang tinggi tetapi sebenarnya mereka berdua bersetuju dan telah membayar pada harga RM460k (RM230k setiap seorang). Kami berpendapat mungkin adik ipar saya menipu harga tersebut supaya beliau boleh membayar hutang kepada suami saya dengan nilai yang lebih rendah daripada yang dituntut oleh suami. Selain itu, adik ipar saya juga ada menggunakan duit suami saya untuk membuat pelaburan di internet (duit ini adalah duit lain dari hartanah yang saya ceritakan di atas). Duit ini juga telah lenyap dan adik ipar saya tidak mengotakan janjinya untuk memberi laporan kepada suami saya pada setiap minggu tentang status pelaburan tersebut (pada masa ini suami saya belum tahu pelaburan itu adalah Forex). Suami saya juga menuntut semula duitnya untuk pelaburan ini melalui mahkamah.

Selepas beberapa lama kes di luar mahkamah ini selesai, suami ada bercerita semula ketidakpuasan hatinya terhadap adik ipar saya mengenai sikapnya dalam perkara ini. Dalam dialog itu suami berkata lebih kurang begini:

"Siti(isteri adik ipar) tak malu ke ada suami macam si Mamat(adik ipar saya). Sebab si Mamat perangai macam tu. Memalukan keluarga. Abang bayangkan kalau abang ditempat Siti dan isteri abang (yakni saya) di tempat Mamat. Kalau isteri abang (yakni saya) buat perangai macam si Mamat, abang rela berpisah. Tapi abang pelik kenapa Siti masih lagi bertahan dan setia dengan si Mamat. Patut berpisah dan cari suami lain. Tapi kebanyakan orang memang selalu jawab nak buat macam mana dah takdir. Patut berpisah supaya anak-anak tidak ikut perangai bapak yang macam tu".

Untuk pengetahuan pihak panel, saya tidak pasti perangai Mamat yang macam mana dimaksudkan suami. Cuma saya tahu pada ketika dialog ini diucapkan memang berkisar tentang perangai Mamat tentang kes luar mahkamah ini. Dan saya juga tidak berapa ingat ayat yang dilafazkan suami saya sepenuhnya kerana terlalu banyak dialog ketika itu. Ada yang saya ingat. Ada yang saya hanya main rasa dialog macam tu. Cuma berdasarkan pemahaman saya ketika itu, suami saya sedang memberi pendapat jika dia ditempat isteri adik ipar saya dia akan berpisah jika pasangan membuat perangai yang memalukan keluarga begitu. Saya juga lupa ayat manakah yang dipakai oleh suami sama ada:

i. Kalau isteri abang buat perangai macam si Mamat, abang rela berpisah;

Atau

ii. Kalau isteri abang buat perangai macam si Mamat, rasanya abang lebih rela berpisah

Saya lupa ayat ini kerana perkara ini hanya terdetik selepas beberapa hari kemudian. Bila saya cuba untuk fikir semula saya rasa was was pada ayat mana yang dipakai dan fikiran saya menjadi kosong kerana tidak mampu untuk mengingat kembali ayat yang sebenarnya. Saya lebih cenderung kepada ayat (i). Namun bila difikir betulkah ayat (i) saya rasa macam betul dan kadang-kadang rasa macam tidak kerana saya betul-betul lupa. Bila saya fikir kembali saya menjadi was was semula. Bila saya bertanya kepada suami, beliau berkata beliau juga lupa ayat sebenarnya yang telah dilafazkan kerana semasa mengucapkan ayat itu suami saya tidak ada niat untuk bertaklik kepada saya. Beliau tiada niat dan hanya cakap kalau.

Soalan saya: 

1. Adakah telah jatuh taklik kepada saya?

2. Sekiranya jatuh taklik apakah larangan yang saya kena patuhi supaya tidak melanggar taklik tersebut.  Kerana pada pendapat saya yang kurang ilmu, ayat perangai macam Mamat adalah khusus kepada perangai Mamat iaitu menipu bab duit(mengurangkan harga rumah), menafikan hak orang lain, berjudi Forex dan tidak mahu bayar hutang berjumlah RM50k. Adakah sekiranya saya menipu anak supaya tidur awal nanti ada nenek kebayan datang itu juga sudah jatuh taklik?atau jika saya menipu exactly macam kes Mamat yakni menipu bab duit dengan mengurangkan nilai rumah  baru dikira jatuh taklik?

3. Sekiranya jatuh taklik adakah salah satu syarat ini bila dilanggar sudah jatuh taklik atau bila kesemua dilanggar baru jatuh taklik?

Mohon penjelasan dari pihak panel agar membantu saya. Kerana saya tidak sedap hati tiap kali memikirkan hal ini. Sehingga menjejas kegiatan harian dan ibadat kerana saya hanya fikir tentang hal ini.

 

Sekian terima kasih.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan:

1. Taklik yang diucapkan adalah tidak sah kerana lafaz tersebut bukanlah suatu lafaz yang jelas menunjukkan kepada talak. Antara lafaz yang jelas sebagai taklik adalah seorang suami mengucapkan kepada isterinya "Sekiranya engkau keluar dari pintu ini, maka jatuh talak". Berbeza dengan lafaz yang disebutkan dalam situasi puan kerana itu adalah berbentuk penceritaan semata-mata.

2. Tidak sah taklik seperti jawapan soalan 1

3.  Tidak sah taklik seperti jawapan soalan 1

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 9

message user image