Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz.
Apa hukum lelaki kurus makan lebih daripada kenyang untuk tujuan tambah kekuatan fizikal badan atau "sado"?
Benarkan Islam tidak menganjurkan pengambilan makanan melebihi kenyang?
Terima kasih. Selamat Berkhidmat.
Jawapan
Islam telah menetapkan cara dan kaedah pemakanan yang sesuai dengan fitrah manusia. Daripada al-Miqdam bin Ma’di Karib R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Tidaklah seorang anak Adam memenuhi satu tempat yang lebih teruk dari (memenuhi) perutnya. Cukuplah bagi anak Adam makanan yang boleh menegakkan tulang belakangnya, jika boleh (lebih dari itu) maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumnya dan sepertiga untuk nafasnya.”
Hadis ini mengajar bersederhana dalam makanan dan minuman. Islam menerangkan sifat-sifat dan asas kesihatan di dalam hadis ini iaitu tidak melampau. Ini bertepatan dengan Firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 31:
Maksudnya: Makanlah serta minumlah dan jangan melampau. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampau.
Kesimpulannya, bersederhanalah dalam pemakanan dan tidak membazir agar tidak mendatangkan kemudaratan kepada tubuh badan.
Sekian, terima kasih.