Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya dan suami mempunyai 2buah restoran dan kami sama2 mengusahakannya. Suami saya juga memberi gaji kepada saya. Tapi gaji saya itu akan dibayar sekiranya saya ada keperluan....contohnya saya ingin mengirim duit kepada ibu saya atau saya ada kebutuhan sesuatu. Soalannya, jika saya mengambil wang hasil jualan itu sedikit, tanpa pengetahuan suami saya, adakah saya dikira sebagai mencuri?. Berdosa kah saya jika selama ini saya mengambil duit tersebut utk kegunaan saya serta anak2 tanpa pengetahuan suami? Mohon pencerahan...
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan:
Setiap harta yang dimiliki oleh pasangan perlu diuruskan dengan penuh amanah dan kejujuran. Walaupun puan dan suami bersama-sama mengusahakan perniagaan tersebut, namun hasil jualan perniagaan tetap dikira sebagai harta bersama yang perlu diurus dengan izin dan persetujuan bersama. Amanah ini menjadi keperluan khususnya jika ia melibatkan pengambilan wang dari hasil jualan bersama. Konsep bekerja menurut Islam adalah seseorang itu berhak mendapat gaji dan upah hasil daripada titik peluhnya, Bagi syarikat yang dikongsi bersama, keuntungan hendaklah dibahagikan sesama rakan kongsi berdasarkan persetujuan bersama. Sekiranya puan dan suami telah bersepakat bahawa tugas dilakukan secara bersama, bererti puan berhak mendapat 50% dan suami 50%. Kadar ini mungkin berubah mengikut persetujuan seseorang dengan rakan kongsinya.
Oleh itu, puan boleh mengambil bahagian puan sekalipun tidak diberi gaji secara spesifik oleh suami kerana itu adalah hak puan. Namun, pada bahagian suami, puan perlu meminta izin darinya. Sekali lagi disarankan agar puan berbincang secara baik dengan suami tentang hak gaji antara kedua pasangan kerana ia melibatkan harta masing-masing. Selain itu, ia juga dapat mewujudkan persefahaman mengenai penggunaan hasil jualan untuk perbelanjaan puan dan anak-anak.
Sekian, terima kasih.