Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ada dua soalan dan soalan saya seperti yang berikut.
1) ketika saya sedang duduk, dalam keadaan baju masih lembap disebabkan kesan peluh, ada seekor anjing melintas betul betul rapat di belakang saya dan ekornya terkena baju saya. Adakah perlu saya samak atau sertu? Dan sekiranya kawasan baju yg terkena ekor anjing tu bergesel atau bersentuh dgn tgn saya atau pintu dalam kereta, perlukah saya samak kereta sekali?
2) saya ada masalah radang dkt bahagian lutut. Ada masanya saya boleh solat seperti biasa.. dan ada masanya bila sakit lutut datang menyerang, saya trpaksa solat duduk pakai kerusi sebab lutut sewaktu sakit, saya tak dpt nak bengkok habis. Sekiranya saya solat duduk di atas kerusi adakah saya masih boleh untuk mengimamkan isteri saya solat ketika saya solat dalam keadaan duduk?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, Islam meletakkan sesuatu hukum itu adalah berdasarkan kepada sesuatu yang jelas, nyata dan yakin sahaja. Manakala bagi sesuatu yang tidak jelas, tidak nyata dan tidak yakin itu maka perkara tersebut adalah terkecuali dan tidak ada hukum. Sehubungan itu, jika kita menghukumkan sesuatu adalah bernajis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan:
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.
Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu tidak bernajis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci. Oleh itu,
1) Jika meyakini hanya ekor anjing yang terkena pada baju dan tidak terdapat padanya najis, maka tidak perlu disertu baju tersebut. Malah jika baju tersebut bergesel atau bersentuhan dengan tangan atau pintu kereta juga tidak perlu disertu.
2) Saudara masih boleh mengimamkan isteri walaupun solat dalam keadaan duduk di atas kerusi kerana berlaku ketidakupayaan untuk solat secara berdiri semasa lutut sedang sakit.
Sekian, terima kasih.