Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam, saya ingin bertanya. Nanti saya akan bernikah, sah kah akad nikah saya jika pengantin lelaki namanya berbinkan ayah angkat. Sedangkan ayah kandungya masih hidup, dan perkahwinan ayah dan ibu kandungnya sebelum ini adalah sah disisi syarak (sebelum lahirnya dia). Cuma nama pengantin lelaki di dalam ic sahaja berbinkan ayah angkat. Adakah perlu semasa akad disebutkan nama pengantin lelaki berbinkan ayah kandung?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, oleh kerana pengantin lelaki tidak perlu kepada wali semasa bernikah, justeru semasa akad nikah kelak, boleh dibincangkan bersama Imam Nikah/ Juru Nikah di tempat saudari berkenaan perkara ini. Sama ada hanya disebut nama pengantin lelaki sahaja atau disebut nama berbinkan ayah kandung atau ikut nama seperti dalam kad pengenalan.
Adapun dalam syarat sah nikah, pengantin lelaki dan pengantin perempuan mesti ditentukan orangnya dengan jelas (ta'yin). Nama dalam dokumen pengenalan adalah sama dengan orangnya. Bukan orang lain. Justeru, nikahnya adalah sah.
Berkenaan kad pengenalan (ic) yang berbinkan ayah angkat boleh dibetulkan kemudian kerana mana-mana anak angkat yang diangkat oleh orang Islam tidak boleh dinasabkan kepada ayah angkatnya.
Sekian, terima kasih.