BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya ingin bertanya berkaitan ayat yang saya lafazkan itu dikira sah ataupun tidak.

Pada masa tu, isteri berada dalam keadaan marah dan sangat tak stabil. Dia meminta untuk ceraikannya talak 3, dia juga ada kata tidak mahu talak 1 dan 2.

Saya pun dengan keadaan yang sangat tertekan sebab dipaksa dan mati akal untuk tenang kan keadaan tersebut, lalu saya sebut "okay lah begitu, aku akan lepaskan kau". Tetapi hakikatnya saya sedikit pun tidak berniat dan ingin pertahankan keluarga saya daripada berpisah.

Sebelum tu, apa yang saya ingat sewaktu lafaz tu ayatnya berbunyi "aku akan lepaskan kau" akan tetapi dari pihak isteri kata yang dia dengar "aku lepaskan kau". Jadi ada sedikit keraguan dan bercanggah disitu.

Mohon bantuan atas keraguan saya dan isteri, setiap hari saya memikirkan berkaitan ni dan membuatkan saya tidak tenang.

1) Adakah jatuh talak 3 disebabkan isteri meminta talak 3 walaupun saya tidak sebut sebarang talak?

2) Apa perlu saya buat dengan percanggahan ayat yang "saya ingat" dan yang "isteri dengar" sekiranya berada di depan Hakim bagi pengesahan tersebut?

Terima kasih atas bantuan jawapan dari pihak tuan/puan, sedikit sebanyak dapat hilangkan keraguan dan menenangkan hati saya.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Lafaz "lepaskan" adalah termasuk dalam lafaz kinayah (lafaz yang tidak sorih atau jelas). Perkataan tersebut boleh membawa pelbagai maksud yang lain selain maksud talak, mungkin boleh membawa maksud bebas hendak ke mana-mana atau bermaksud dia marah atau sebagainya. Oleh yang demikian, jatuh atau tidak lafaz kinayah tersebut, adalah  bergantung kepada niat suami. Seandainya suami ketika melafazkan perkataan "lepas" itu dengan berniat talak, maka jatuhlah talak. Seandainya suami tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku.

Dalam menentukan niat sesorang atau perkara batin seperti ini, pengakuan suami adalah amat penting. Ini adalah kerana pengakuan suami akan menjadi penentu sama ada talak berlaku atau pun tidak. Oleh itu, segala tanggungjawab adalah terletak di bahu suami terhadap pengakuan yang dibuat seandainya pengakuan yang dibuat adalah tidak benar. Ini berdasarkan kepada kaedah Fiqh:

نحن نحكم بالظواهر والله يتولى السرائر

Maksudnya: Kita (manusia) menghukum sesuai berdasarkan kepada yang zahir, manakala Allah SWT menentukan perkara yang tersembunyi. 

Memandangkan berlaku pertikaian antara suami dan isteri serta pihak yang berautoriti atau berbidangkuasa di dalam menentukan sesuatu penceraian itu berlaku atau tidak adalah pihak Mahkamah Syariah, maka disyorkan agar perkara ini dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57, memandangkan urusan pengesahan perceraian adalah merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 8

message user image