BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum WBT buat pihak Mufti Negeri Selangor, 

Saya mempunyai soalan berkaitan hukum serta pandangan berkaitan pengguna Muslim yang makan di kedai makan yang tidak mempunyai pensijilan halal JAKIM tetapi menyatakan bahawa restoran tersebut 'no pork, no lard, no alcohol'. Adakah ia dibenarkan disisi agama. Terima kasih atas bantuan dari pihak Mufti Negeri Selangor. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, dalam Islam setiap perkara yang halal mahupun haram telah ditetapkan dalam nas-nas syarak. Hal ini telah dinyatakan seperti dalam hadith yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

إنَّ الحَلالَ بَيِّنٌ، وإنَّ الحَرامَ بَيِّنٌ

Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu sudah dijelaskan dan perkara yang haram itu pun jelas. (Riwayat al-Bukhari)

Justeru, tidak boleh dihukumkan sama ada ianya haram atau halal melainkan setelah diyakini dengan pasti bahawa penghasilan makanan di kedai makan tersebut bebas daripada unsur haram. Adapun JAKIM merupakan badan berautoriti yang diyakini dalam menentukan kehalalalan sesuatu makanan agar menepati kehendak syarak. Namun, jika kedai makan itu masih diragui sama ada ianya haram atau halal maka ia dikategorikan sebagai perkara yang syuhbat, maka seeloknya kita menjauhkan diri daripada perkara yang syubhah sehinggalah jelas status halalnya. Hal ini berdasarkan sebuah hadis: 

الْحَلاَلُ بَيِّنٌ وَالْحَرَامُ بَيِّنٌ وَبَيْنَ ذَلِكَ أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَدْرِي كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ أَمِنَ الْحَلاَلِ هِيَ أَمْ مِنَ الْحَرَامِ فَمَنْ تَرَكَهَا اسْتِبْرَاءً لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhat bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. (Riwayat Tirmizi)

Oleh itu, berdasarkan perbincangan di atas, orang Islam tidak boleh dan haram memakan makanan (terutamanya yang berasaskan daging) di restoran/premis bukan Islam yang hanya mendakwa 'No Pork No Lard', sehinggalah diyakini bahawa makanan tersebut halal dan tidak mengandungi bahan-bahan bernajis, yang tidak dibenarkan oleh syarak seperti wine, arak, dan seumpamanya.

"Begitu juga  perkakasan memasak juga adalah mesti  bersih dan tidak bernajis. Inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan sebagai mengambil langkah berhati-hati (ihtiyat),"

Justeru, pemilihan kedai makan yang ada logo halal JAKIM merupakan pilihan yang terbaik dan diyakini halal bagi umat Islam kerana perkara tersebut memberi keyakinan kepada pengguna muslim untuk mencari produk yang dipersijilkan halal tanpa syak dan ragu. Oleh itu, 'no pork, no lard, no alcohol'  bukanlah menjadi satu tanda halalnya kedai makan itu kerana konsep halal itu lebih luas dari segi penyediaan barang mentah.   

والله أعلم بالصواب

Sekian, Terima Kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 13

message user image