Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan, saya ada beberapa persoalan, harap pihak tuan dapat memberi pencerahan,
Saya ada menyertai pertandingan saham "paper trading". Pertandingan ini sama seperti bermain saham yang sebenar tetapi menggunakan duit rekaan (duit maya). Pertandingan ini merupakan pertandingan berkumpulan. Pemenang dikira berdasarkan keuntungan yang diperolehi
Apa hukum membeli saham tidak patuh syariah dalam situasi ini ?
Jawapan
Hukum asal pelaburan saham dalam Islam adalah harus dengan syarat pelaburan tersebut pelaburan yang patuh Syariah iaitu aktiviti utama syarikat mestilah halal dan tidak melibatkan perkara haram seperti riba, perjudian, atau pelaburan dalam perniagaan yang dilarang serta syarikat mesti mematuhi kriteria kewangan tertentu bagi mengelakkan amalan riba.
Merujuk kepada persoalan, secara umumnya menyertai pertandingan paper trading dengan niat untuk mempelajari selok belok antara pedagang untuk membina strategi dan mengasah kemahiran perdagangan pasaran, menguji strategi perdagangan dan membina keyakinan tanpa merisikokan wang sebenar adalah harus sekiranya saham yang diniagakan dalam pertandingan tersebut adalah saham yang patuh syariah.
Namun sekiranya terlibat dalam simulasi saham yang tidak patuh syariah, seperti syarikat arak, judi, atau yang melibatkan riba, seorang Muslim tidak wajar membiasakan diri dengan sesuatu yang haram, apatah lagi dalam hal perdagangan yang melibatkan unsur riba dan perjudian.
Sebaiknya berpeganglah kepada prinsip ihtiyat (berhati-hati). Meskipun tiada kesan sebenar dalam transaksi maya, melibatkan diri dalam saham yang tidak patuh syariah walaupun secara simulasi mungkin boleh membawa kepada kelalaian terhadap prinsip syariah dan boleh memberi kesan kepada hati (dengan membiasakan diri dengan sesuatu yang dilarang).
Sekian. Terima kasih.