Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya nak tanya, adakah sah nikah apabila pengantin wanita menggunakan nama orang lain semasa akad dan menggunakan wali hakim sedangkan saudara kandung lelaki masih hidup dan mereka masih duduk serumah. Pengantin perempuan membeli surat beranak orang lain. Oleh itu mereka memilih untuk menggunakan wali hakim supaya sah disisi undang2. Tapi adakah sah disisi agama ?
Jawapan
Kewujudan wali adalah wajib semasa akad nikah kerana ia merupakan salah satu daripada rukun nikah. Perkahwinan seorang perempuan sama ada dewasa atau masih kecil, janda ataupun dara, hendaklah diakadkan oleh walinya. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
Yang maksudnya : “Seorang perempuan tidak harus mengahwinkan perempuan lain dan tidak harus mengahwinkan dirirnya sendiri.” (Riwayat al-Daraqutni)
Menjawab persoalan saudari, selagi wali nasab masih hidup, wujud dan cukup syarat-syarat sebagai wali maka ia tidak boleh berpindah kepada wali hakim. Oleh yang demikian, pasangan tersebut hendaklah merujuk kepada pihak Mahkamah Syariah dalam kadar yang segera bagi melaporkan status pernikahan mereka. Pihak mahkamah akan menentukan status pernikahan tersebut samada sah atau terbatal berdasarkan keterangan pasangan dan saksi-saksi yang berkaitan.
Sekian, terima kasih.