Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ada soalan yang agak basic berkenaan mandi wajib. Apakah kategori anggota badan yang dikira zahir dan wajib diratakan air? Adakah anggota di bawah wajib diratakan air:
1. Dalam hidung (dengan menghembus)
2. Dalam mulut (dengan berkumur)
3. Cuping telinga (seperti berwuduk)
4. Dalam lubang pusat
Soalan tambahan, bagaimana situasi seorang yang badan agak besar, sukar untuk membasuh sesetengah kawasan badan seperti belakang badan? Lebih-lebih lagi dalam situasi air yang terhad. Saya ada mendengar seorang ustaz berkata jika walaupun sehelai bulu tidak diratakan air, maka mandi wajibnya tidak sah.
Terima kasih atas pencerahan.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan:
1. Antara syarat sah mandi wajib adalah meratakan air ke seluruh anggota badan termasuk mertakan air ke kawasan cuping telinga dan anggota pusat. Namun, meratakan air ke seluruh bulu dan tubuh badan itu terkecuali pada beberapa tempat, seperti bahagian dalam hidung, bulu yang tumbuh padanya dan bahagian dalam mulut.
2. Dalam keadaan seseorang itu mempunyai kesukaran mencapai (untuk menggosok atau membasuh sebahagian anggota badan) disebabkan keterbatasan fizikal, adalah memadai dengan yakin meratakan air pada kawasan anggota tersebut dengan syarat sudah dilakukan semampunya seperti menggunakan berus dan sebagainya.
Sekian, terima kasih.