Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Tujuan saya tulis soalan ni adalah disebabkan saya nak tahu apakah hukum seorang ayah yang bekerja sebagai siak surau bergaji kecil tapi tidak dapat menafkahi anak dan bini.Dan bini menanggung selama 28 tahun perkahwinan.segalanya bini menangung dari makan,pakai,bil-bil, ubat-ubatan anak .dan adakah ianya jatuh berdosa jika anak perempuan yang belum bekerja dan belum berkahwin tidak menangung kedua ibu bapa..semoga ada jawapan kepada kemusykilan saya ini
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, kewajipan seorang suami adalah memberi nafkah kepada isteri dengan menyediakan keperluan asas secara umum seperti makanan, tempat tinggal, alat kebersihan diri dan seumpamanya mengikut kemampuannya. Suami juga tidak wajib untuk memberi wang, ini kerana nafkah yang wajib hanyalah nafkah keperluan asas yang disenaraikan oleh ulama iaitu makanan, lauk-pauk, pakaian, alat mandian, perkakas rumah, tempat tinggal dan pembantu rumah bagi isteri yang biasa memiliki pembantu. Justeru, apabila seorang suami sudah menunaikan nafkah wajib hukumnya adalah sah mengikut taraf kemampuannya meskipun suami tidak mampu beri wang bulanan. Namun, suami digalakkan memberi wang atau hadiah lain sebagai penghargaan kepada isteri. Oleh itu, jika seorang suami tidak memberi nafkah yang wajib maka dia berdosa atas dasar mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan ayah.
Imam al-Syaukani menyebutkan di dalam kitab Nail al-Awtar: Nafkah kepada keluarga tetap wajib meskipun ketua keluarga jatuh miskin, manakala nafkah kepada ibubapa hanya wajib jika anak mampu. Para ulama’ telah sepakat akan wajibnya mendahulukan nafkah anak isteri sebelum ibubapa. Selain itu, para ulama menyebutkan bahawa memberi nafkah kepada ibubapa adalah tidak wajib atas seorang anak kecuali dalam dua keadaan berikut:
Justeru, seseorang anak itu tidak wajib memberikan nafkah kepada kedua orang tuanya melainkan sekiranya ibu bapa tersebut tergolong dalam kalangan fakir dan miskin serta tiada mata pencarian dan harta di samping seorang anak itu mampu dan mempunyai harta lebihan darinya. Oleh itu, anak tersebut juga tidak menanggung dosa tidak memberikan nafkah terhadap ibu bapa kerana ianya tidak wajib baginya.
Sekian, Terima Kasih