Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan 1
Assalamualaikum, saya ingin bertanya soal hukum menonton filem di laman web tak berbayar maksudnya, filem tersebut percuma untuk ditonton dan tiada bayaran dikenakan. Di aplikasi rasmi pun ada juga filem percuma. Contoh, youtube, Facebook dan lain-lain. Apakah ia berdosa dan kalau ia berdosa, adakah dosa besar atau dosa kecil?
Soalan 2
Hukum memuat turun filem dan music secara percuma dan ia hanya untuk menonton dan mendengar. Filem dan music tersebut tidak dikongsi dengan orang ramai, adakah ia berdosa?. Kerana, dimuat turun dari aplikasi yang tidak rasmi. Mohon jelaskan
Jika ia berdosa, apa yang perlu saya lakukan untuk menebus kesalahan tersebut?. Terim kasih
Jawapan
Hukum menonton filem di platform alam maya seperti Facebook, Youtube serta lain-lain adalah harus kerana ia adalah isi kandung (content) yang kebiasaan terdapat di alam maya. Di samping hak cipta filem itu sendiri telah dibayar oleh pemilik platform tersebut.
SOALAN 2:
Hukum memuat turun filem tanpa kebenaran dan keizinan pemilik asal karya filem tersebut adalah haram sama ada percuma mahupun berbayar melalui apa jua aplikasi. Sebenarnya, terdapat hak cipta terpelihara yang perlu dihormati hasil daripada titik peluh seseorang atau syarikat dengan modal dan belanja yang besar. Justeru, perlulah kita mencermati dalam mengambil sebarang tindakan agar tidak termasuk dalam kalangan mereka yang mencetak rompak. Kecuali jika pemilik telah mengizinkan sama ada secara bertulis atau bersyarat, maka harus dengan syarat bukan filem maksiat.
Apa yang perlu dibuat selepas memuat turun filem tersebut adalah membuang (delete) dan bertaubat kepada Allah SWT serta tidak mengulangi perbuatan tersebut.
Sekian, terima kasih