Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Apakaha hukum membawa balik makanan yang tak habis dimakan dari tempat kenduri tanpa beritahu kepada tuan rumah kerana tuan rumah tengan sibuk melayan tetamu.Terima kasih
Jawapan
Berdasarkan soalan yang diajukan, hukum membawa balik makanan yang tak habis dimakan dari tempat kenduri adalah harus sekiranya mendapat keizinan daripada tuan rumah atau tuan majlis. Begitu juga, pada setengah keadaan, adat kebiasaan setempat atau sebarang petunjuk lain membenarkan perbuatan menapau makanan. Namun, sekiranya tidak mendapat keizinan daripada tuan majlis atau adat setempat menunjukkan perbuatan tersebut tidak dibenarkan meskipun untuk kuantiti yang sedikit, dan sebagai contoh tetamu membungkus makanan dalam tisu seketul dua kuih lalu dimasukkan ke dalam poket baju atau seluar untuk diberikan kepada orang yang tidak datang kenduri tersebut, ianya tetap haram jika tidak meminta izin tuan rumah. Perbuatan tersebut menyebabkan makanan yang pada awalnya halal dimakan ianya boleh menjadi haram apabila kita tidak mempunyai ilmu dan amanah untuk menjaganya. Ini bertepatan dengan Firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah ayat 188:-
Maksudnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.
Oleh yang demikian, dicadangkan kepada tetamu perlulah meminta izin terlebih dahulu daripada tuan rumah atau tuan majlis untuk membawa balik makanan kenduri yang tidak habis dimakan makanannya supaya kita terhindar daripada memakan makanan yang haram oleh kerana tuan rumah tidak redha akan perbuatan tersebut. Perbuatan mengambil sesuatu barangan tanpa keizinan atau keredhaan seseorang merupakan suatu perbuatan mencuri dan ia amatlah dilarang di dalam Islam.
Sekian, terima kasih.