Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Baru-baru ini salah seekor anak kucing telah kencing di dalam rumah saya dan kemudian saya sedar terdapat beberapa kesan tapak kakinya yang telah kering di dalam rumah akibat anak kucing itu terpijak kencingnya sendiri. Anak saya kemudiannya telah terpijak kesan tapak kaki yang kering tersebut dan berjalan-jalan di dalam rumah. Persoalannya adakah hukum najis itu telah tersebar ke kawasan-kawasan lain di dalam rumah yang anak saya telah berpijak setelah dia terpijak bekas tapak kaki kucing yang telah kering itu? Sekian, terima kasih.
Jawapan
Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapatnya najis dari segi ainnya, warna, bau atau rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najisnya jelas kelihatan seperti tahi, air kencing atau selainnya sehingga hilang warna, bau dan rasa.
Merujuk kepada persoalan tuan, sekiranya tapak kaki anak tersebut kering yang memijak kesan tapak kaki anak kucing yang kering tersebut, maka tidak berlaku sebaran najis ke kawasan-kawasan yang dipijak oleh anak tuan.
Sekian, terima kasih.