BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya soalan berkaitan nazar. Ketika baru berkahwin dan mempunyai anak baru seorang, suami belum direzekikan pekerjaan yang tetap.

Saya yang pada ketika itu bekerja dan menghadapi tekanan kerja, mahu berhenti kerja. Tapi suami tak izinkan, dengan alasan agar saya pertimbangkan keadaan kewangannya yang belum stabil.

Jadi, dalam keadaan tertekan dan berhajat serta agak jahil. Saya bernazar akan berpuasa 1 hari jika suami direzekikan dapat kerja tetap. Saya juga berniat untuk sanggup berhenti kerja jaga anak jika suami dapat kerja kerajaan.

Cuma saya sudah tidak ingat, sama ada berhenti kerja jaga anak ini, termasuk nazar atau sekadar azam sahaja pada ketika itu.

Alhamdulillah suami dapat kerja kerajaan tak lama dari tempoh saya bernazar. Dan puasa nazar sehari telah saya tunaikan, sebaik sahaja Allah tunaikan hajat tersebut. Saya sangat bersyukur.

Namun. Setelah berhenti kerja, saya yang dah biasa bekerja mula rasa rendah diri dan mulai kemurungan. Dengan keadaan Suami pula banyak ikut nasihat kewangan dari kedua orang tuanya untuk membuat pinjaman di luar kemampuan. 

Setelah masuk kerja kerajaan, saya dapati habit berhutang mula ada pada suami. Saya sudah cuba 'selamatkan kewangan' beberapa kali dengan bantunya manage kewangan setiap kali sampai tahap 'susah nak beli makanan'. 

Tetapi setiap kali ada lebihan. Pasti dia berhutang lagi. Walaupun sebelum ini berazam untuk tutup hutang seperti kad kredit.

Soalan saya, saya dah cuba hidup seadanya tanpa meminta-meminta duit untuk pakaian, atau belanja lain. Kerana tahu suami tidak mampu walau gaji semakin naik. Ada sahaja komitmen dan ujiannya.

Tapi adakalanya, saya teringin nak pegang duit sendiri macam dulu dan berbelanja keperluan yang saya perlukan, memberi, belanja keluarga dengan duit sendiri. Jadi saya cuba berniaga online.

Namun saya merasakan hidup saya semakin miskin, emas hampir habis dijual, dengan hutang belajar pun belum habis bayar dan sedikit depression kerana sejak berhenti kerja, seringkali didesak untuk bekerja kembali oleh keempat orang tua kami 

Saya sudah cuba bertahan hampir 10 tahun sambil jaga anak, hanya berbisnes secara atas talian. Tetapi tidak berjaya seperti orang lain. Kebanyakan masanya saya tiada duit untuk berbelanja.

Ada masanya, saya terpaksa guna duit anak untuk keperluan mereka sendiri. Saya sangat sedih. Sampai bila harus begini. Saya sedar, saya tidak lagi boleh berharap suami berubah. Saya perlu cari jalan sendiri untuk langsai hutang belajar dan hutang dengan anak. Saya kesuntukan masa kerana umur sudah hampir 40 tahun.

Soalan saya, jika 'tidak bekerja' itu adalah salah satu nazar yang saya perlu tunaikan, bolehkah saya membatalkan ia?

Bolehkah saya kembali bekerja atau mencari pendapatan sendiri. Adakah saya telah dikira melanggar janji dengan Allah dalam situasi saya ini? 

Adakah saya perlu berpuasa 3 hari untuk membatalkan nazar. Mohon penjelasan dan tidak sebarkan soalan saya ini kerana bimbang mengaibkan suami dan keluarga.

Terima kasih.

 

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Pada asasnya, nazar bermaksud membuat iltizam kepada diri sendiri untuk melakukan sesuatu kebajikan atau ibadah dengan niat taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah, yang pada asalnya tidak wajib dari segi syarak, sama ada secara muqayyad (dikaitkan dengan sesuatu) ataupun mutlaq (tidak dikaitkan dengan sesuatu).

Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Hajj ayat 29:

ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ

Maksudnya: Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.

Berbalik kepada persoalan, keadaan tersebut tidak dianggap sebagai nazar kerana ia bukan daripada perkara yang dilakukan untuk tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Oleh itu, nazar tidak berlaku dan tidak perlu melunaskan kaffarah. Apabila difahami bahawa nazar tidak berlaku maka ia juga tidak menghalang puan untuk bekerja semula.

Adalah dinasihatkan agar tidak bernazar dengan sesuatu perkara yang akan memberatkan diri sendiri. Ini kerana Rasulullah SAW pernah bersabda:

لا تَنْذرُوا، فإنَّ النَّذْرَ لا يُغْنِي مِنَ القَدَرِ شيئًا، وإنَّما يُسْتَخْرَجُ به مِنَ البَخِيلِ

Maksudnya: Janganlah kamu untuk bernazar (dengan sesuka hati), kerana sesungguhnya nazar tidak akan mengubah daripada takdir yang telah ditentukan Allah SWT sedikitpun. Hanyasanya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil. (Riwayat Muslim)

والله أعلم بالصواب

Sekian, Terima Kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 8

message user image