Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz,
Saya nak bertanya, insyaAllah dalam masa terdekat ini saya akan bernikah. Permasalahan sekarang adalah, bakal suami adalah suami orang & dia juga telah menyatakan bahawa akan bernikah dengan saya di Thailand. Saya masih mempunyai bapa yg masih hidup. Oleh itu, saya ingin bertanya, adakah pernikahan saya nanti akan sah disebabkan saya tidak akan memaklumkan kepada bapa saya bahawa saya akan bernikah di Thailand? Dan sekiranya selepas pernikahan, setelah saya & bakal suami mendaftar di Malaysia, adakah pernikahan ini akan sah taraf? Adakah pendaftaran di Malaysia perlu mendapatkan persetujuan wali juga? Bagaimanakah prosedur tersebut?
Mohon penjelasan dari pihak berilmu tentang urusan nikah ini.
Terima kasih.
Jawapan
Bagi menjawab soalan yang diajukan:
1. Wanita yang ingin menikah, menjadi kewajipan untuk memaklumkan terlebih kepada wali bagi mendapatkan persetujuan. Ini kerana wali merupakan salah satu rukun nikah. Namun begitu, jika bernikah di luar negeri yang melebihi dua marhalah dengan menggunakan wali hakim, pihak pengantin perlu memastikan bahawa jurunikah tersebut adalah jurunikah rasmi yang dilantik oleh Majlis Agama Islam di tempat tersebut. Jurunikah yang tidak diiktiraf oleh Majlis Agama Islam di sesuatu tempat tidak boleh menjadi wali hakim menurut hukum syarak dan implikasinya boleh menyebabkan pernikahan tersebut tidak sah.
2. Oleh itu, sekiranya perkahwinan dilakukan di luar negeri mengikut prosedurnya dan dihukumkan sah. Pihak pasangan perlu mendapatkan Perintah Daftar Perkahwinan di Mahkamah Syariah daerah tempat tinggal. Apabila perintah telah diperolehi, pihak pasangan perlu pergi ke Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) dengan membawa bersama Perintah Daftar Perkahwinan tersebut untuk mendapatkan Surat Perakuan Nikah.
Puan dinasihatkan agar mengikut prosedur yang ditetapkan termasuk mendapat keizinan daripada wali bagi mengelakkan masalah pada masa akan datang. Bincanglah baik-baik hal ini dengan bakal suami dan keluarga agar bernikah di Malaysia serta mendapatkan nasihat daripada PAID terdekat berkaitan prosedur pernikahan.
Sekian, terima kasih.