Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ada persoalan mengenai puasa sunat Hari Isnin dan Khamis serta puasa sunat Nabi Daud.
1) Sekiranya saya melakukan puasa sunat hari Isnin kemudian pada hari Selasa saya melakukan puasa Nabi Daud adakah dibenarkan?
2) Kemudian pada hari Rabu saya tidak berpuasa kerana selang sehari puasa Nabi Daud pada hari Selasa tersebut. Pada hari Khamis pula saya melakukan puasa sunat hari Khamis. Adakah niat puasa sunat hari Khamis boleh disekalikan dengan niat puasa Nabi Daud atau memadai niat puasa hari Khamis sahaja?
3) Sekiranya saya memulakan puasa Nabi Daud pada hari Isnin tanpa niat puasa hari Isnin adakah dibenarkan atau boleh diniatkan dua puasa sunat sekali atau lebih afdhal sekiranya saya berniat puasa hari Isnin sahaja?
4) Jika dimulakan puasa sunat Nabi Daud pada hari Isnin kemudian diikuti puasa pada hari Rabu dan Jumaat adakah dibenarkan puasa pada hari Jumaat tersebut tanpa puasa sehari sebelum atau selepasnya?
Mohon pencerahan.
Terima kasih
Jawapan
Daripada Abdullah bin Amr, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: "Tidak ada puasa yang lebih afdhal dari puasa Nabi Daud. (Puasa Nabi Daud bererti) sudah berpuasa separuh tahun. Maka, berpuasalah pada hari-hari yang bergantian."
(Riwayat al-Bukhari)
Tatacara puasa Nabi Daud adalah sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW iaitu puasa selang sehari. Adapun jika bermula puasanya hari Isnin, maka Selasa dia tidak berpuasa dan seterusnya (selang-seli). Berkenaan dengan niat puasa Nabi Daud pada hari Isnin/Khamis, memadai berniat puasa hari Isnin/Khamis, tidaklah perlu tuan/puan menyebut niat puasa Nabi Daud kecuali puasa sunat mutlak semata-mata yang bersifat selang sehari.
Manakala, hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksdunya: “Janganlah seseorang daripada kamu berpuasa sunat semata-mata pada hari Jumaat melainkan berpuasa sebelumnya atau sehari selepasnya”
(Riwayat al-Bukhari)
Maksud kepada hadis di atas jika berpuasa pada hari Jumaat sendirian tanpa disusuli sebab-sebab khusus untuk melakukannya seperti puasa wajib (Ramadhan dan nazar) atau disusuli puasa sunat seperti puasa Nabi Daud. Oleh itu, tuan/puan tidak perlu untuk menggabungkan puasa hari sebelum atau selepas hari Jumaat jika sedang melaksanakan puasa Nabi Daud.
Sekian, terima kasih.