BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Ustaz, sy nak tanya, apakah hukum sayan memasukkan jari kedalam kemaluan isteri tanpa mengetahui perkara tersebut haram. Dan apa hukum jika saya tahu perkara tersebut adalah haram. Ape yang perlu sy buat menebus kesalahan sy jika saya tidak tahu perkara tersedbut adalah haram


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Islam tidak melarang seseorang untuk bermesra di antara suami dan isteri. Hal ini kerana terdapat keharusan yang dibenarkan kepada suami dan isteri untuk melakukan perhubungan secara intim dan mesra, selagimana tidak bertentangan dengan syarak. Perkara ini adalah berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah ayat 223:

نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ

Maksudnya: Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu.

Selain itu, terdapat batasan-batasan yang perlu dijaga semasa melakukan perhubungan di antara suami dan isteri seperti memasukkan kemaluan ke dalam dubur isteri. Perihal ini dijelaskan berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَلْعُونٌ مَنْ أَتَى امْرَأَتَهُ فِي دُبُرِهَا

Maksudnya: Orang yang dilaknat itu ialah seorang yang mendatangi isterinya pada duburnya. (Riwayat Ahmad)

Justeru dalam hal ini, perbuatan memasukkan jari ke dalam kemaluan isteri diharuskan selagimana ia tidak mendatangkan kerosakan dan kemudaratan bagi kedua-dua pihak. Para ulama mengharuskan bagi seorang suami dan isteri untuk menyentuh dan bermain-main dengan alat sulit pasangannya. Hal ini sebagaimana dijelaskan oleh Syeikh Zainuddin al-Malibari di dalam kitab Fath al-Mu'in, katanya:

يَجُوزُ لِلزَّوْجِ كُلُّ تُمَتَّعُ مِنْهَا بِمَا سِوَى حَلَقَةِ دُبُرِهَا وَلَوْ بِمَصِّ بَظَرِهِ

Maksudnya: Diharuskan bagi seorang suami itu menikmati secara seksual akan tubuh isterinya, selain daripada lubang dubur (yakni dengan cara meliwat), sekalipun dengan menghisap biji kelentitnya.

Namun begitu, penting untuk memastikan bahawa setiap tindakan dilakukan dengan penuh rasa hormat, komunikasi yang baik, dan menjaga kesihatan serta kesejahteraan pasangan. Islam menekankan adab dan etika dalam hubungan suami isteri, termasuklah saling menjaga perasaan dan tidak melakukan perkara yang boleh menyebabkan kesakitan atau ketidakselesaan tanpa persetujuan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, Terima Kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 5

message user image