BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum saya ada 2 soalan

1. Apakah status bila suami lafaz taklik bila awak jumpa kawan baik awak (dengan lafaz nama) akan jatuh talak 1 tetapi ada situasi yang saya memerlukan jumpa kawan baik saya tu dan sebelum saya jumpa saya minta izin suami dan minta dia tarik balik taklik itu. Adakah talak itu masih jatuh? Dan sekiranya selepas itu kami bersama seperti biasa adakah kami telah melakukan kesalahan?

2. Saya mohon nasihat untuk suami culas bab agama, tanggungjawab dan pernah minta isteri tinggalkan keluarga isteri sehingga hari ini membuatkan isteri berada dalam keadaan tekanan dan perasaan sayang semakin hilang.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan puan:

1. Berdasarkan kenyataan yang puan jelaskan di atas, bahawa suami puan ada melafazkan taklik yang berbunyi :" bila awak jumpa kawan baik awak (dengan lafaz nama) akan jatuh talak 1". Lafaz tersebut adalah suatu lafaz yang tidak membawa kepada talak secara taklik kerana ungkapan tersebut berbentuk perkhabaran atau cadangan, iaitu sekiranya puan berjumpa dengan kawan baik puan, maka akan jatuh talak 1 dengan maksud, selepas perbuatan itu dilakukan dan suami puan ada melafazkan talak atau cerai secara jelas atau sorih, maka ketika itu barulah boleh menyebabkan jatuhnya talak, namun sebaliknya, jika tiada lafaz talak selepas perbuatan itu dilakukan maka tidak jatuh talak.

Walau bagaimanapun, puan dan suami hendaklah merujuk perkara ini ke Mahkamah Syariah yang berhampiran dengan kadar segera supaya mendapat pengesahan yang lebih jelas daripada pihak yang berautoriti, kerana pengesahan lafaz cerai adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

2. Untuk tujuan nasihat kepada suami puan, proses ini melibatkan kerterlibatan kedua-dua belah pihak iaitu puan dan suami. Puan boleh merujuk kepada mana-mana pegawai agama atau pihak berautoriti di Pejabat Agama Islam yang berhampiran ataupun imam masjid atau mana-mana orang yang dihormati untuk menjadi orang tengah atau menjadi pembimbing bagi memberi panduan dan nasihat samada kepada suami puan atau puan juga.

Apa yang penting, banyakkan doa kepada Allah SWT serta ajaklah suami untuk solat secara berjemaah, kerana hikmah dan kelebihannya amatlah besar dalam mendapatkan reda Allah SWT serta pertolongan Allah SWT.

والله أعلم بالصواب 

Sekian terima kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 8

message user image