BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalammualaikum, saya ingin bertanya tentang tahlil, adakah haram jika kita mengadakan tahlil untuk orang non muslim? Setahu saya jika kita mengadakan majlis tahlil kepada orang non muslim, kita berdosa. Jadi saya pelik dengan golongan yang tidak mengambil berat tentang perkara tersebut


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan.

Hukum membacakan tahlil kepada non muslim sekalipun kaum kerabat adalah tidak dibenarkan dan berdosa kerana tujuan majlis tahlil dibuat untuk menghadiahkan pahala kepada muslim yang telah meninggal dunia sahaja. Di samping itu, tahlil juga diadakan bagi tujuan mendoakan keampunan bagi seseorang muslim yang telah meninggal dunia. Justeru, Islam menegah mendoakan kebaikan dan keampunan bagi non muslim yang telah meninggal dunia. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surah at-Taubah ayat ke-113:

مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ

Maksudnya: Tidak sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, memintakan ampun (kepada Allah SWT) untuk orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabatnya, sesudah jelas bagi mereka, bahawasanya orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka.

Bahkan perihal ini dijelaskan dalam Mausu'ah Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah sebagaimana berikut:

اتَّفَقَ الْفُقَهَاءُ عَلَى أَنَّ الاِسْتِغْفَارَ لِلْكَافِرِ مَحْظُورٌ، بَل بَالَغَ بَعْضُهُمْ فَقَال: إِنَّ الاِسْتِغْفَارَ لِلْكَافِرِ يَقْتَضِي كُفْرَ مَنْ فَعَلَهُ، لأَِنَّ فِيهِ تَكْذِيبًا لِلنُّصُوصِ الْوَارِدَةِ الَّتِي تَدُل عَلَى أَنَّ اللَّهَ تَعَالَى لاَ يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ، وَأَنَّ مَنْ مَاتَ عَلَى كُفْرِهِ فَهُوَ مِنْ أَهْل النَّارِ

Maksudnya: Para ulama fiqh bersepakat bahawa perbuatan memohon keampunan bagi orang yang mati dalam keadaan bukan islam atau kafir adalah dilarang. Bahkan ada pendapat yang lebih keras mengatakan individu yang memohon keampunan bagi orang kafir juga turut dihukum kafir. Ini kerana ia berlawanan dengan nas yang jelas bahawa Allah SWT tidak akan mengampunkan sesiapa yang berlaku syirik kepada-Nya, ditambah lagi dengan nas bahawa sesiapa yang mati dalam keadaan kafir maka dia akan menjadi ahli neraka.

Namun begitu diharuskan bagi orang Islam mendoakan orang kafir yang masih hidup agar diberi hidayah kerana ia pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika pulang dari Taif:

اللهُمَّ اهْدِ قَوْمِي فَإِنَّهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: Ya Allah! Berilah hidayah kepada kaumku. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui. (Riwayat al-Bayhaqi)

 والله أعلم بالصواب

Sekian, Terima Kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 4

message user image