Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum...
Sebuah syarikat luar negara yang berasaskan judi, membuat pelaburan di Malaysia untuk pembuatan Mesin Dialisis (pertama di Malaysia). Pengilangan Mesin Dialiais adalah tanpa melibatkan unsur-unsur bahan haram atau subhah.
Apakah hukumnya jika kita bekerja di kilang tersebut?
Kerana sesetengah pendapat mengatakan, kita tidak perlu tahu dari mana duit pelaburan itu datang. Pekerjaan membuat atau mengilang mesin dialisis adalah halal.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan.
Seseorang yang menerima wang, pendapatan, gaji dari pihak lain hendaklah memastikan transaksi sumber kewangan yang diterima adalah jelas dan mematuhi syarak. Begitu juga dalam isu penerimaan gaji, maka ia perlu dipastikan tidak berlaku apa jua transaksi yang diharamkan antara majikan dan pekerja.
Adapun urusan sebelumnya iaitu antara majikan dan pihak pelabur yang berasaskan judi, maka ia tidak melibatkan urusan para pekerja yang menerima gaji secara langsung daripada syarikat tersebut. Bahkan para pekerja juga tidak dipertanggungjawabkan atas kesalahan itu. Firman Allah SWT di dalam Surah al-An'am ayat ke-164:
Maksudnya: Dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja).
Oleh itu, berdasarkan penjelasan ringkas yang diberikan sumber pembayaran gaji ini adalah hasil produksi dan jualan mesin dialisisi dan tidak melibatkan kegiatan yang haram seperti pelaburan yang berasaskan perjudian atau seumpamanya maka ia tidak melarang seseorang untuk meneruskan pekerjaannya. Hal Ini kerana urusan haram itu tidak melibatkan diri penerima gaji berkenaan dan gaji itu diterima atas kerjanya yang halal, bukan atas kegiatan aktiviti syarikat yang tidak patuh syariah.
Sekian, Terima Kasih