BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

assalamualaikum encik atau puan,

saya mahu bertanyakan isu tentang keluarga yang mempunyai 2 orang anak sahaja. Seorang anak perempuan(bekerja) dan seorang anak lelaki(bekerja), dan ibu tidak bekerja dan si bapa bekerja, soalan ia begini,. 

 "ADAKAH ANAK PEREMPUAN PERTAMA WAJIB MEMBERI SEPARUH DUIT GAJI KEPADA IBU BAPANYA SEDANGKAN MEREKA MEMPUNYAI ANAK LELAKI, AKAN TETAPI ANAK LELAKI PULA MEMBERI HANYA SEDIKIT BERBANDING ANAK PEREMPUAN. APAKAH WAJIB BAGI ANAK PEREMPUAN UNTUK MEMBERI SEPARUH GAJINYA KEPADA IBU BAPANYA SELAGI TIDAK BERKAHWIN"?

Gaji anak perempuan tidak menentu kadangkala, RM2500 kadang naik kadang turun, sama juga gaji anak lelaki RM2500, tetapi anak lelaki hanya memberi RM500 sahaja manakala anak perempuan memberi RM1500/1800. 

Sebelum memberi kami sekeluarga sudah membuat perbincangan, anak-anak setuju dengan harga yang ditetapkan untuk RM1500 anak perempuan dan RM500 anak lelaki, walaupun anak perempuannya tidak berapa setuju mahu atau tidak anak perempuan wajib bersetuju, kerana ia tahu kalau tidak bersetuju ibubapanya akan marah dan menggunakan dengan alasan "selagi kau (anak perempuan) belum berkahwin, dan masih dibawah tanggungjawab bapa kau, kena beri lebih, kau(anak perempuan) sepatutnya tahu akan benda ni" sedangkan mereka tahu anak perempuannya memerlukan duit lebih untuk tambah nilai kad TNG untuk naik kenderaan awam dan selebihnya untuk membeli barang keperluan dan sebagainya, berbanding anak lelaki yang tidak menggunakan duit yang banyak kerena mempunyai kenderaan yang diberikan oleh ibu bapanya. Apabila anak perempuan beri sedikit ia dimarahi oleh ibubapanya dan apabila ibubapa minta untuk tambah duit sedikit, anak perempuannya tidak memberi kerana habis bayar dan beli barang keperluan, ia ditengking dan dimarahinya sehingga tidak bertegur sapa dan apabila anak perempuannya itu berhenti bekerja untuk mencari kerja yang stabil dan tetap mereka mengatakan "membelangkangkan keluarga". Anak lelakinya beri sedikit tidak pula marah, jika minta untuk tambah duit dan anak lelakinya tidak beri, tidak pula ditengkingnya, malah masih bertegur dan cakap dengan elok. (minta maaf jika penerangan saya memeningkan)

soalan ke2

"ADAKAH BERDOASA JIKA IBU BAPA MEMBERI ATAU MENGELUARKAN KATA YANG KESAT SEHINGGA MENGURIS HATI ANAK2 

 soalan ke3

"SIAPAKAH YANG WAJIB MEMBERI DUIT ATAU NAFKAH DAN BERTANGGUNGJAWAB KEPADA IBU BAPANYA?"

soalan ke4

"ADAKAH IBU BAPA WAJIB MENETAPKAN JUMLAH YANG ANAK-ANAK BERI, ATAUPUN ANAK-ANAK MEMBERI MENGIKUT KEMAMPUAN MEREKA?"

itu sahaja soalan dari saya, harap pihak encik atau puan sudi menjawab soalan saya, TERIMA KASIH.

 

 

 

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Nafkah bermaksud semua keperluan asas manusia, seperti makanan, minuman, pakaian dan juga tempat tinggal. Ia dinamakan nafkah kerana ia dikeluarkan atau dihabiskan untuk tujuan keperluan asas tersebut.

Jawapan bagi soalan 1:

Islam menetapkan bahawa nafkah yang wajib dikeluarkan kepada ibu bapa adalah bagi ibu bapa yang fakir. Oleh itu, anak-anak wajib memberikan nafkah kepada ibu bapa yang fakir dengan berbincang untuk mendapatkan kesepakatan dalam kalangan adik beradik. Adapun bagi keadaan ibu bapa yang berkemampuan, nafkah tidak wajib diberikan kepada mereka. Namun begitu, Islam menekankan agar berkelakuan baik terhadap ibu dan bapa. Justeru, pemberian nafkah juga digalakkan sebagai langkah berbuat ihsan terhadap ibu dan bapa di atas jerih perih mereka membesarkan kita.

Jawapan bagi soalan 2:

Berkenaan perilaku ibu bapa yang menyakiti hati anaknya, maka Islam menganjurkan agar berbuat baik terhadap ahli keluarga kerana ia merupakan satu amalan yang mulia. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina ‘Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي، وَإِذَا مَاتَ صَاحِبُكُمْ فَدَعُوهُ

Maksudnya: Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku. Dan apabila salah seorang daripada ahli keluarga kalian meninggal dunia, maka biarkanlah dia (tinggalkanlah dia dan jangan berbicara tentang keburukannya). (Riwayat al-Tirmidhi)

Jawapan bagi soalan 3:

Perihal tanggungjawab ini menjadi keutamaan kepada anak lelaki tanpa menafikan tanggungjawab bagi anak perempuan. Oleh itu, dalam urusan ini setiap anak perlu melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa dengan sebaiknya mengikut kemampuan masing-masing. Disebutkan dalam kitab Fiqh al-Manhaji: 

"Jika kedua-dua ibu bapa fakir dan mempunyai furu’ (anak-anak) yang setaraf (dari sudut kerabat) dalam kalangan mereka, kesemua furu’ itu mesti memberi nafaqah kepada ibu bapa mereka. Hal ini demikian kerana mereka mempunyai sebab wajib nafaqah. Bahagian nafaqah yang perlu dikeluarkan oleh perempuan adalah setengah bahagian lelaki, sebagaimana pembahagian pusaka."

Jawapan bagi soalan 4:

Perlu diingatkan bahawa nafkah tersebut diberi mengikut kemampuan anak-anak tanpa mengkhususkan nilai tertentu. Islam tidak menetapkan jumlah tertentu dalam pemberian nafkah bahkan tidak mensyaratkan kewajipan secara mutlak kepada anak-anak sama ada belum berkahwin mahupun sudah berkahwin. Namun, Islam menekankan soal tanggungjawab yang perlu digalas oleh anak-anak ketika ibu bapa dalam kesusahan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, Terima Kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 2

message user image