Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum yang berbahagia ustaz,benarkah kalimah "wassabbih" di Surah Toha ayat:130 merujuk kepada solat fardhu 5waktu?mohon pencerahan dari ustaz.terima kasih
Jawapan
Firman Allah SWT dalam Surah Toha ayat 130:
Maksudnya: Oleh itu, bersabarlah engkau (wahai Muhammad) akan apa yang mereka katakan, dan beribadatlah dengan memuji Tuhanmu sebelum matahari terbit dan sebelum terbenamnya; dan beribadatlah pada saat-saat dari waktu malam dan pada sebelah-sebelah siang; supaya engkau reda (dengan mendapat sebaik-baik balasan).
Bagi menjawab soalan yang diajukan, kebanyakan ulama tafsir mentafsirkan wasabbih (beribadatlah) pada ayat yang pertama sebagai solat fardu Subuh dan Asar, manakala ayat wasabbih (beribadatlah) pada ayat yang kedua sebagai solat-solat fardu dan sunat sebelah malam iaitu solat Maghrib, Isya’ dan tahajjud dan solat sunat dan fardu pada sebelah siang iaitu Dhuha dan Zohor. (Rujuk: Tafsir al-Tabari dan Tafsir al-Qurtubi)
Sekian, terima kasih.