Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, maaf saya ingin bertanyakan soalan. Saya mendapat peluang pekerjaan sebagai pembantu jualan di syarikat yang dimiliki oleh non muslim. Syarikat tersebut menjual berbagai hadiah/decor dll. Saya dapati syarikat tersebut juga ada menjual berbagai barang2 & costume Halloween. Pekerja di syarikat itu juga kebanyakkannya adalah muslim. Beberapa hari ni telah kelihatan beberapa pekerja di syarikat tersebut memakai costume Halloween & membuat video content di media social mempromosikan barang2 jualan sempena hari Halloween. Jadi pertanyaan saya sebagai seorang muslim, adakah perkerjaan ini adalah dibolehkan atau sebaliknya. Mohon pencerahan dari pihak Tuan/Puan. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, ingin dijelaskan terlebih dahulu bahawa Halloween adalah dikaitkan dengan perayaan yang merupakan syiar bagi sebahagian penganut agama Kristian. Mereka menyambutnya demi memperingati roh-roh yang telah meninggal dunia. Hukum umat Islam menyertai perayaan ini adalah haram. Selain itu, Rasulullah SAW telah melarang umat Islam daripada menyerupai orang kafir, sabda Baginda SAW dari Ibn Umar RA:
Maksudnya: Telah berkata Rasulullah SAW: Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka mereka tergolong dalam golongan itu. (Riwayat Abu Daud)
Justeru, berdasarkan hadis di atas umat Islam adalah dilarang untuk meniru gaya atau kelakuan termasuklah pakaian yang khusus dikenali dengan unsur jahat atau adat perayaan yang boleh menimbulkan salah sangka orang ramai, apatah lagi dengan mempromosikannya sebagai barang jualan. Oleh itu, terlibat secara langsung dengan pekerjaan sedemikian adalah dilarang dalam Islam. Namun pada waktu lain, jika kedai tersebut tidak menjual barangan yang khas untuk perayaan yang diharamkan dengan sekadar menjual hadiah dan barangan lain yang harus, maka tiada halangan untuk bekerja disitu. Sebaiknya berusaha mencari pekerjaan lain yang lebih diyakini bagi memastikan keberkatan rezeki kita.