BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya mahu bertanya, Bos saya menghadiahkan cenderati berupa gantungan perkataan "Om mani padme hum" daripada Negara Nepal. Adakah saya dibenarkan untuk menyimpan cenderahati ini. Apa hukumnya jika saya menggantungkannya sebagai hiasan.

 

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, frasa “Om mani padme hum” berasal dari tradisi agama Buddha khususnya dari ajaran Buddha Tibet. Frasa tersebut merupakan mantera suci yang berkait dengan dewa belas kasihan dalam kepercayaan tersebut. 

Mantera tersebut dikhuatiri mempunyai kaitan dengan simbol keagamaan dan berkaitan rapat dengan unsur-unsur ketuhanan atau kerohanian agama Buddha, maka menyimpannya dengan tujuan sebagai hiasan boleh menimbulkan syubhah (keraguan) dari segi akidah.

Kita dilarang oleh Rasulullah SAW menyerupai golongan kafir dalam hal yang merupakan identiti atau lambang atau syiar agama mereka. Daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia adalah dari kalangan mereka.” (Riwayat Abu Daud)

Maka dengan itu, adalah dilarang menyimpan atau menggantung benda mahupun perhiasan yang mempunyai unsur-unsur dari agama lain khususnya yang berkaitan dengan mantera atau simbol keagamaan. Tidak menggantung atau mempamerkannya di dinding bukanlah bermakna tidak menghargai pemberian dan tidak menjaga perasaan si pemberi namun adalah lebih baik untuk menjaga kesucian agama Islam dan disarankan memberi penjelasan dengan cara yang baik. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 6

message user image