BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. 7 atau 8 tahun yang lalu ayah saya ada mengecat pintu bilik. Beberapa tahun kemudian saya ternampak ada bulu bercabang 2 melekat pada pintu. Saya tak pasti sama ada itu bulu babi atau bulu sintetik yang memang sudah terbelah. Saya mendapati ada juga bulu yang tidak bercabang di pintu tersebut. Saya mengambil keputusan untuk mencabut semua bulu yang ada.Tetapi sehingga sekarang saya cuba sedaya upaya untuk tidak memegang pintu tersebut kerana masih merasa was-was (hanya memegang tombol).

Selama yang saya tidak tahu kewujudan bulu itu, saya ada menggantung tuala yang lembab di pintu tersebut. Ada masanya, tangan yang basah menyentuh pintu itu.

1. Perlu ke saya sertu tuala, pintu dan tangan saya? 

2. Kalau selama ini dah basuh tuala tersebut dengan baju-baju lain dalam mesin basuh macam mana? Adakah perlu sertu semua?

3. Adakah jatuh wajib untuk saya mengecat pintu itu semula kerana was-was? Bagaimana jika saya berjaya mengatasi was-was tersebut dan mengambil keputusan untuk tidak mengecat semula? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan saudari, Islam meletakkan sesuatu hukum itu adalah berdasarkan kepada sesuatu yang jelas, nyata dan yakin sahaja. Manakala bagi sesuatu yang tidak jelas, tidak nyata dan tidak yakin itu maka perkara tersebut adalah terkecuali dan tidak ada hukum. Sehubungan itu, jika kita menghukumkan sesuatu adalah bernajis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan: 

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.

Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu tidak bernajis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci. Oleh itu, bulu dari berus cat tersebut adalah kekal suci.

Sehubungan itu, 

1. Tidak perlu sertu tuala, tangan dan pintu bilik saudari kerana tiada najis pada bulu berus cat tersebut.

2. Tidak perlu di sertu semua baju-baju yang telah di basuh bersama tuala tersebut kerana tiada najis padanya.

3. Tidak wajib untuk di cat semula pintu tersebut kerana tiada najis padanya. Keputusan yang betul jika saudari dapat mengatasi perasaan was-was dengan tidak mengecat semula pintu tersebut.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 5

message user image