Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum pihak mufti, saya ingin bertanya. Saya tahu, hukum seseorang itu menjadi peminat penyanyi dan pelakon bukan islam adalah haram terutama sekali sekiranya mereka membawa pendedahan kepada maksiat. Saya mempunyai seorang rakan. Dia jenis suka dan minat pelakon yang cantik. Senang cerita, kalau pelakon tu cantik, dia memang mudah minat la. Tapi minat dia tak la sampai dia follow media sosial artis tu dan tak ikut pun perkembangan artis tu sangat melainkan kalau trending. Tapi kadang dia suka letak pelakon tu sebagai gambar profil WhatsApp dia. Dia jenis suka tengok cerita kalau pelakon yang dia minat tu ada berlakon. Tapi, seperti yang kita tahu, cerita-cerita orang luar ni banyak yang memang tak patuh syariah contohnya macam perzinaan, mabuk, judi, lgbt dan sebagainya. Jadi kawan saya ni selalu layan ja cerita macam ni. Tapi kat kehidupan sebenar, dia taklah sampai buat apa yang pelakon tu buat. Jadi soalan saya, baru-baru ni, ada lalu video ceramah Ustaz Zakir Naik, yang kata, jadikan selebriti sebagai idola ni boleh membawa kepada syirik terutama sekali, sekiranya selebriti itu buat benda haram. Jadi, sekiranya kawan saya suka tengok cerita macam tu, dan suka, tetapi dia masih sedar itu dosa, dan tidaklah sampai melakukan perbuatan tersebut di kehidupan nyata, adakah ini boleh membawa kepada kesyirikan. Dalam ceramah tersebut juga ada menyebutkan, kadang kita ni minat sampai sanggup buat jadi dp WhatsApp dan sebagainya, dan perkara ini dikhawatiri membaawa kepada terlalu menyanjung dan berkahir sebagai syirik. Mohon pencerahan lebih lanjut mengenai apa yang dimaksudkan oleh ustaz zakir naik tersebut dan adakah perbuatan meletakkan gambar profil WhatsApp gambar pelakon tersebut kerana dia suka kecantikannya boleh membawa kepada syirik? Sekarang dia sudah pun mengganti gambar profil WhatsApp nya tetapi dia masih lagi layan drama yang pelakon tersebut berlakon.
Jawapan
Melihat atau meminati artis tertentu tidaklah membawa seseorang kepada syirik. Melainkan kalau dia mengangungkan artis tersebut sebagai dewa atau maksum atau tuhan dan yang seerti dengannya, barulah ia dikira syirik. Melihat artis yang tidak menutupi aurat adalah berdosa kerana melihat aurat wanita ajnabi. Firman Allah SWT dalam Surah al-Nur ayat 30:
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka.
Manakala, menonton filem tertentu sebagai hiburan adalah diharuskan selagi tidak melalaikan dan tiada unsur yang boleh merosakkan iman seseorang. Dibolehkan sekiranya ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran sosial, agama atau budaya. Namun jika sekiranya dengan menontonnya akan menimbulkan fitnah dan membangkitkan nafsu maka yang demikian tidak dibolehkan kerana ia termasuk dalam perkara yang ditegah oleh syara’
Sekian, terima kasih.