Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz,
Saya lihat ada anjing berkeliaran di belakang kereta saya. Saya tidak pasti apa yang dilakukan sama ada hanya melalui ataupun berteduh di bawah kereta. Kadangkala ada yang duduk dan berteduh di bawah kereta. Persoalannya, adakah saya perlu menyertu bahagian belakang kereta @ bawah kereta?
Pada zahir mata kasar, saya tidak dapat memastikan bahawa sama ada bulu/cecair melekat di bahagian kereta dan saya mengabaikan. Jika betul adanya bulu/cecair haiwan tersebut, adakah saya perlu menyertu ataupun keyakinan asal saya yang tiada boleh digunapakai? Dan adakah perpindahan najis itu berlaku sekiranya saya membasuh kereta saya seperti biasa?
Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, Islam meletakkan sesuatu hukum itu adalah berdasarkan kepada sesuatu yang jelas, nyata dan yakin sahaja. Manakala bagi sesuatu yang tidak jelas, tidak nyata dan tidak yakin itu maka perkara tersebut adalah terkecuali dan tidak ada hukum. Sehubungan itu, jika kita menghukumkan sesuatu adalah bernajis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan:
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.
Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu tidak bernajis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci. Oleh itu, jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka bahagian belakang dan bawah kereta saudara tersebut kekal bersih dan suci dan tidak perlu disertu. Perpindahan najis tidak berlaku kerana tiada najis pada kereta tersebut semasa saudara membasuh kereta tersebut kerana saudara telah yakin bahawa tiada najis pada awalnya.
Sekian, terima kasih.