BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya bagi pihak rakan Jepun saya yang baru memeluk agama Islam. Dia menghadapi kesukaran untuk solat semasa waktu kerja disebabkan pemahaman orang Jepun yang sangat sedikit terhadap Islam. Oleh kerana dia sering menghadapi masalah untuk menunaikan solat, terutamanya Asar, soalan saya ialah, bolehkah dia jamak antara solat Zohor dan Asar? Untuk lebih memahami situasinya, saya sertakan penjelasan daripadanya sendiri mengenai hal ini:
 

Waktu kerja: 9:00 pagi - 8:00 malam
Waktu rehat: lebih kurang 1.5 jam

Pertama sekali, syarikat membenarkan pemakaian hijab dan solat jika berunding dengan mereka secara individu. Walau bagaimanapun, solat hanya dibenarkan semasa waktu rehat. Ini kerana semasa waktu bekerja, apa sahaja yang tidak berkaitan dengan kerja (atau tidak penting untuk kelangsungan hidup) tidak dibenarkan. Saya mencadangkan untuk mengurangkan waktu rehat bagi memberikan masa yang diperlukan untuk solat, tetapi tidak dijamin bahawa masa itu sentiasa dapat diambil. Selain itu, jika dibenarkan keluar seketika semasa waktu kerja, maka rehat untuk merokok dan seumpamanya juga perlu dibenarkan untuk mengekalkan keadilan.

Syarikat memahami bahawa solat adalah penting, tetapi ia masih sukar untuk dilaksanakan secara meluas, terutama dengan bilangan pekerja yang kecil. Tambahan pula, ini bukan pekerjaan pejabat; ia melibatkan perkhidmatan pelanggan seperti mengendalikan kaunter, melayani pelanggan, dan membersihkan barang untuk dijual semula. Semua orang (orang Islam) mungkin akan berkata, 'Kamu solat sahaja!', tetapi saya tidak boleh berhenti. Berhenti selama kira-kira lima minit sahaja dianggap sebagai mengelak daripada tugasan, dan ia tidak mencerminkan imej yang baik di mata pekerja lain.

Islam masih merupakan minoriti di sini, dan kedudukan orang Jepun yang beragama Islam agak goyah. Sehingga kini, saya sering diberitahu, "Kamu orang Jepun, jadi berperangailah seperti orang Jepun." Jika saya adalah warga asing, identiti saya akan dilihat sebagai sesuatu yang tidak boleh diubah, tetapi itu bukanlah keadaan bagi rakyat Jepun.

Sukar juga untuk mendapatkan pemahaman daripada orang sekeliling. Masih ada orang (termasuk di kalangan pekerja) yang bertanya, "Terrorism?" hanya kerana saya solat. Semakin jauh dari pusat bandar, semakin ramai orang yang berfikiran begitu. Saya hanya berjaya berusaha untuk mendapat kebenaran untuk solat semasa waktu rehat di tempat kerja. Untuk membolehkan solat dilaksanakan tepat pada waktunya, Islam perlu menjadi lebih biasa dan difahami oleh masyarakat Jepun.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, wajib menunaikan solat fardu pada waktunya melainkan jika bermusafir atau dalam keadaan darurat. Bagi situasi rakan puan, dalam keadaan yang mendesak, diharuskan untuk melewatkan solat fardu yang pertama sehingga ke penghujung waktunya, dan menyegerakan solat fardu kedua sejurus selepas masuk waktu solatnya. Contohnya, melewatkan solat Zohor sehingga ke penghujung waktu dan solat Asar ditunaikan pada awal waktu. Ini yang dinamakan sebagai jamak suri (jamak pada gambaran sahaja) menurut Mazhab Syafie. Imam al-Nawawi menukilkan,

فَيَجُوزُ ‌تَأْخِيرُ ‌الصَّلَاةِ إلَى آخِرِ الْوَقْتِ بِلَا خِلَافٍ حَيْثُ تَقَعُ جَمِيعًا فِي الْوَقْتِ

Maksudnya: "Maka diharuskan melewatkan solat hingga ke akhir waktu tanpa khilaf, asalkan seluruh solat itu masih dilaksanakan dalam waktunya".

(al-Majmu’ Sharh al-Muhadzdzab 3/62‌)

Jamak cara ini kelihatan seperti jamak dalam satu waktu, padahal pada waktu yang berbeza. Dan hal ini dilakukan jika dalam keadaan yang mendesak seperti situasi rakan puan dan kesukaran yang sememangnya telah berlaku bukan kerana bermudah-mudah dalam agama atau sangkaan tanpa bukti. Tunaikanlah solat ini di mana-mana sahaja asalkan tempat itu suci daripada najis.

Seperti yang dinyatakan puan juga, majikan di tempat kerja boleh berunding dengan pekerja, dan masa rehat yang diperuntukkan adalah 1.5 jam. Dicadangkan untuk mengambil 1 jam rehat yang pertama bagi makan, solat Zohor dan solat Asar dan 30 minit bagi rehat yang kedua bagi rehat, makan dan solat Maghrib. Dinasihatkan juga untuk berunding dan berbincang dengan majikan dalam memperuntukkan masa solat dengan menolak waktu rehat yang diberikan. Sebagai contoh, 1 jam puan gunakan bagi waktu rehat, dan 30 minit bakinya puan simpan dan menggunakannya untuk menunaikan waktu solat.

والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 2

message user image