Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Jika seorang wanita sedang mengandung, adakala tidak dpt menahan dari terkencing apabila bersin atau batuk didalam solat, adakah solat itu sah atau perlu diganti semula?
Jawapan
Berdasarkan soalan yang diajukan, air kencing adalah salah satu daripada najis mutawassitah (najis pertengahan) dan jika dibawa ke dalam solat, maka hukumnya adalah tidak sah. Hal ini kerana, salah satu syarat sah solat adalah suci daripada najis. Najis tersebut perlu dihilangkan terlebih dahulu sebelum melakukan ibadah lain dengan basuhan air mutlak sehingga hilang bau, rasa dan warna.
Oleh yang demikian, wanita yang hamil bilamana dia terkencing sama ada disebabkan tidak dapat menahannya atau bersin ataupun terbatuk ketika di dalam solat, maka hukum solatnya pada ketika itu adalah tidak sah. Apabila keluarnya sesuatu melalui kemaluan depan dan belakang iaitu (qubul dan dubur) ianya membatalkan wuduk. Justeru itu, jika batuknya itu menyebabkan kencing terkeluar maka wuduknya terbatal. Maka, dia hendaklah membersihkannya terlebih dahulu, kemudian barulah memperbaharui wuduknya. Begitu juga jika dia terkencing ketika sedang solat, maka solatnya juga terbatal disebabkan oleh batalnya wuduknya yang menjadi syarat sah solat dan menanggung najis iaitu air kencing tersebut selagi belum dibersihkan. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam surah al- Maidah ayat: 6 :-
Maksudnya: Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.
Justeru itu,solat yang terbatal itu tadi hendaklah digantikan semula dengan wuduk yang baru. Oleh itu, adalah menjadi tugas kita untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa memastikan diri suci dan bersih daripada najis.
Sekian, terima kasih.