BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalammualaikum Tuan,

Saya ingin bertanya. Sekiranya saya telah mengumpat orang, namun saya malu untuk meminta maaf kepada orang yang saya telah umpat, apakah perkara lain yang saya boleh lakukan supaya dosa saya terhadap sesama manusia itu dimaafkan/dihapuskan? 

Terima Kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan; Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

رَحِمَ اللَّهُ عَبْدًا كَانَتْ لأَخِيهِ عِنْدَهُ مَظْلَمَةٌ فِي عِرْضٍ أَوْ مَالٍ فَجَاءَهُ فَاسْتَحَلَّهُ قَبْلَ أَنْ يُؤْخَذَ وَلَيْسَ ثَمَّ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ فَإِنْ كَانَتْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ مِنْ حَسَنَاتِهِ وَإِنْ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ حَمَّلُوا عَلَيْهِ مِنْ سَيِّئَاتِهِمْ

Maksud: Barangsiapa yang menanggung kezaliman yang dilakukan ke atas orang lain, sama ada mengenai maruah dan kehormatan atau sebarang perkara lain (mengambil harta orang lain) maka bersegeralah untuk meminta keampunan sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya, bahkan pada masa itu kalau ia mempunyai amal soleh, akan diambil daripada amalnya itu dan diberikan kepada orang itu, kalau ia pula tidak mempunyai amal soleh, maka akan diambil dari kesalahan orang itu serta dibebankan kesalahan itu ke atasnya. (Riwayat Al-Tirmidzi)

Imam Al-Nawawi dalam kitab Al-Azkar dan Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulum Al-Din menjelaskan lagi syarat taubat ini, bagi mereka yang hendak membersihkan diri daripada dosa mengumpat hendaklah mereka mengembalikan semula hak atas kezaliman yang dilakukan, meminta ampun dan meminta pembebasan daripada pemiliknya. Adapun jika tidak dimaafkan oleh pemiliknya maka teruskan berusaha memohon ampun kepadanya moga-moga memperoleh kemaafan dari orang tersebut.

Manakala, tentang persoalan perlu atau tidak menerangkan tentang perkara yang diumpat kepada orang yang diumpati, Imam Al-Nawawi menerangkan para ulama berselisih pendapat dalam hal ini;

  1. Sebahagian ulama mengatakan seseorang itu perlu menjelaskan perkara yang diumpati dan,

  2. Sebahagian ulama seperti imam Ibn Qayyim dan selainnya mengatakan seseorang itu tidak perlu menjelaskan perkara yang diumpatkan tersebut, cukup hanya memohon maaf sahaja kepadanya dan menyebut kebaikan-kebaikannya.

Walaubagaimanapun, jika didapati mudarat lebih besar jika menyebutkan perkara tersebut maka tidak perlu menjelaskannya adalah lebih baik. Jika orang yang diumpati itu telah meninggal dunia atau tiada, maka tidak mungkin untuk mendapatkan pelepasan daripadanya, Oleh itu para ulama berpendapat: Hendaklah (orang yang mengaku bersalah ini) memohonkan ampun untuknya, berdoa, dan banyak memperbanyak berbuat amalan kebaikan. Sesungguhnya amalan kebaikan tersebut akan menghapuskan keburukan dosa yang telah dilakukan. Sepertimana firman Allah SWT dalam Surah Hud ayat 114:

إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ۚ ذَٰلِكَ ذِكْرَىٰ لِلذَّاكِرِينَ ‎

Maksudnya: Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.

Apa yang boleh lakukan juga adalah dengan menghadiahkan pahala seperti bacaan Al-Quran, sedekah dan sebagainya kepada orang yang dizalimi atau diumpat. Mudah-mudahan, dengan izin Allah, ia dapat menebus kesalahan atau dosa yang dilakukan.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 4

message user image