Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam..
ingin bertanya.. isteri perlu minta izin untuk sesuatu perkara sebelum melakukan atau setelah melakukan perkara tersebut.. contoh.. isteri ingin berpuasa sunat isnin.. perlu minta izin sebelum berpuasa ke? Sebab kebiasaan bangun esok pagi isteri beritahu harini saya puasa sunat..
atau isteri bagitahu petang ni nak keluar jumpa kawan.. perlu ke isteri bagitau atau minta izin dulu untuk jumpa kawan sebelum merancang berjumpa kawan.. sebab biasa isteri dah rancang jumpa kawan tapi hanya bagitau pada sebelum pergi..
maksud saya keizinan itu perlu ketika merancang atau boleh selepas melakukan atau sudah memang menetapkan rancangan itu.
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.
Secara asasnya, memberitahu dan meminta izin adalah 2 perkara yang berbeza. Seorang isteri perlu meminta izin suami bagi sesuatu perkara. Berikutan isu puasa, wajib bagi isteri memberitahu dan meminta keizinan suami jika hendak berpuasa khususnya puasa sunat. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Hammam bin Munabbih RA bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Tidak dibenarkan berpuasa bagi seorang wanita (isteri) dan suaminya ada disisinya melainkan dengan keizinannya. (Riwayat Muslim)
Hadis di atas menjelaskan wajib bagi seorang isteri agar meminta izin suami terlebih dahulu sekiranya ingin melakukan ibadah puasa sunat. Namun begitu, jika puasa tersebut atas tujuan qadha puasa maka dibenarkan berpuasa tanpa keizinan suami sekiranya berada dalam kesempitan masa. Adapun jika sebaliknya, maka isteri diwajibkan meminta izin daripada suami untuk mengerjakan qadha puasa.
Begitu juga keadaan seorang isteri yang ingin keluar ke tempat lain untuk tujuan apa sekalipun, maka dalam hal ini seorang isteri perlu memberitahu dan meminta izin suami terlebih dahulu. Perkara ini adalah berdasarkan hadis daripada Aisyah RA, bahawa beliau bertanya kepada Nabi SAW:
Maksudnya: Adakah engkau mengizinkan aku menziarahi kedua ibu bapaku?” Aisyah berkata: Aku ingin mendapatkan kepastian berita tersebut (fitnah terhadap Aisyah) daripada ibu bapaku. Maka Rasulullah SAW mengizinkan aku. (Riwayat al-Bukhari)
Sekian, Terima Kasih