BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam tuan mufti,

Saya ada persoalan tentang najis daging babi

Saya pernah mendengar ceramah tentang terkena asap hasil bakar daging babi, dan jika terkena asap yang sedikit dan tiada kesan tidak melekat, adalah dimaafkan. Manakala jika ada kesan dan melekat, maka perlu disertu. Akan tetapi saya ada beberapa soalan.

1. Bagaimana jika saya apabila terkena asap hasil bakaran babi tersebut. Terdapat debu2 berterbangan dan kena saya. Adakah itu dikira ada kesan dan melekat? Tambahan pula bagaimana jika saya dalam keadaan basah? Adakah perlu sertu?

2. Jika dikira debu itu najis, akan tetapi kita tidak perasan akan debu tersebut bagaimana? Kerana debu sukar dilihat dengan mata kasar jadi mungkin terlepas pandang. Sebagai contoh debu halus daripada asap bakaran daging babi tu terkena baju, lalu dicuci di dalam mesin basuh. Apakah status baju, mesin dan barangan lain yang disentuh dalam keadaan basah? Adakah terdapat perpindahan?

Selain itu, soalan tambahan. Jika kita hendak melaksanakan sertu sebagai contoh pada anggota tangan. Lalu kita mengambil tanah untuk sertu, tetapi tanah tersebut terkena tangan yang bernajis tersebut. Lalu membancuh air tanah tersebut juga dikacau menggunakan air tanah tersebut. Jadi adakah air tanah itu menjadi mutannajis najis mughalazah kerana tersentuh dengan tangan basah yang mempunyai najis hukmi najis mughalazah.

Terima kasih

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, 

1. Asap yang terhasil daripada pembakaran najis adalah dimaafkan sekiranya ia sedikit atau tidak meninggal kesan kepada pakaian. Sekiranya kesan asap daripada pembakaran najis memberi kesan kepada pakaian sehingga ternampak warna asap pada pakaiannya maka ia dianggap sebagai najis dan dituntut untuk menghilangkannya. Oleh itu, jika terdapat debu-debu hasil daripada pembakaran daging babi tersebut dan mengenai pakaian, maka pakaian tersebut perlu di sertu.

2. Sekiranya tidak dapat dipastikan debu asap tersebut mengenai pada pakaian atau sebaliknya, maka pakaian tersebut adalah kekal suci dan bersih daripada najis. Oleh itu, jika pakaian tersebut dibasuh dalam mesin basuh bersama pakaian lain, maka ia tidak mengakibatkan pakaian dan juga barangan yang bersentuhan dengannya menjadi najis dan tidak perlu di sertu. Perpindahan najis juga tidak berlaku.

3. Tangan yang terkena najis tidak akan menajiskan tanah yang akan dijadikan sebagai sertu. Manakala bancuhan air tanah tersebut juga tidak menjadi najis apabila menggunakan tangan tersebut. Oleh itu, air tanah itu tidak menjadi mutannajis.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 2

message user image