Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustz/ustazh,
Soalan saya iaitu:-
1- Mengapakah hati rasa tak tenteram lagi,sedih,murung kadang2,sedangkan saya selalu solat,mengaji dan berzikir...tolong berikan pencerahan nya ya ustaz..
2- Boleh ke saya mengaji tengok buku yang ada surah2 yang disediakan selain dari kitab Al-Quran ?
Itu sahaja soalan saya ,
Terima kasih.
Jawapan
Firman Allah SWT dalam Surah al-Ra’d ayat 28:
Maksudnya:"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.
Menurut tafsir al-Munir, hati orang Mukmin akan menjadi tenang dengan mengingati Allah iaitu dengan melakukannya dengan penuh rasa rendah diri, takut, mengharap pahala dan kurnia-Nya. Ia dilakukan dengan menghadirkan rasa di hati bukan sahaja di lisan serta mengharapkan keampunan dan Rahmat-Nya menjadikan hati seseorang Mukmin itu tenteram dan tenang.
Perbuatan mengingati Allah meliputi dengan sentiasa melazimi zikir walau dimana pun berada sama ada secara bacaan terang atau di dalam hati, membaca al-Quran, menunaikan solat fardhu dan sunat serta pelbagai ibadah atau kebaikan lain yang boleh dilakukan.
Jika hati masih tidak tenteram, sedih, murung dan sebagainya hendak sabar dan sentiasa memohon pertolongan kepada Allah dengan memperbanyakkan istighfar, berdoa memohon semoga Allah mengurniakan ketenangan dalam diri. Sebagai hamba-Nya, mohonlah kepada Allah dengan sepenuh rasa perhambaan dan pengharapan semoga Allah yang Maha Berkuasa memberi ketenangan dan kelapangan hati. Perkara lain yang boleh dilakukan adalah dengan memenuhi masa dengan perkara kebaikan seperti membantu orang lain, menuntut ilmu, menghayati keindahan ciptaan Allah serta menjauhi perkara-perkara yang boleh melemahkan jiwa seperti mendengar lagu yang mendorong ke arah kesedihan dan kemurungan.
Tiada masalah untuk merujuk buku-buku yang mempunyai surah dalam al-Quran. Adalah lebih baik, cuba memahami ayat al-Quran dengan mentadabbur, mengambil pelajaran dan mengamalkan apa yang dijelaskan dalam al-Quran ke dalam kehidupan. Perkara ini merupakan suatu perbuatan yang sangat baik serta boleh membantu seseorang mendalami al-Quran sehingga boleh meningkatkan keimanan, ketaqwaan dan kekuasaan Allah SWT.
Sekian. Terima kasih.