BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum

Nenek saya baru saja meninggal dunia,sekarang dalam proses menguruskan harta peninggalan arwah nenek saya. Nenek saya mempunyai 4 orang anak dan ayah saya adalah anak sulung. Sebelum nenek saya meninggal, nenek saya pernah mengatakan bahawa rumah di atas namanya akan diserahkan kepada maksu saya tetapi tiada surat hitam putih atau urusan pertukaran nama dibuat. Perkara ini disahkan oleh maklang saya,tetapi ayah saya dan pak ngah saya hanya mengetahui dari mak lang dan maksu saya,bukan dari nenek saya. Saya ingin bertanya,adakah sah rumah itu telah bertukar milik kepada maksu saya dalam hukum islam dan rumah itu tidak layak untuk di faraidkan?

Terima kasih
Assalamualaikum


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد 

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, sekiranya pesanan nenek pada maksu ketika nenek masih hidup itu dilafazkan pemberian harta tersebut di hadapan penerima (maksu) dan penerima (maksu) menjawab bersetuju dengan lafaz, maka perlu dilihat dari sudut eleman al-qabd iaitu tindakan penerima harta itu menguasai harta yang telah diberi kepadanya seperti menjaga penyelenggaraan rumahnya dengan rapi, membayar cukai rumah, membayar cukai tanah dan lain-lain keperluan rumah tersebut yang patut diuruskan. Ditambah pula dengan saksi yang mendengar ketika pemberian itu sedang berlaku iaitu mak lang, maka sempurnalah pemberian hibah tersebut yang merangkumi rukun hibah iaitu pemberi hibah, penerima hibah, barang yang dihibahkan dan sighah (lafaz akad hibah). Oleh yang demikian, rumah tersebut adalah dikategorikan bukan harta pusaka dan tidak perlu difaraid kepada waris yang lain.

Namun begitu, sekiranya elemen al-qabd tidak berlaku, dan nenek hanya bercita-cita untuk memberikan rumah itu kepada maksu, maka rumah tersebut kekal menjadi milik nenek ketika nenek masih hidup. Jika keadaan ini berlaku, rumah ini perlu dimasukkan dalam kiraan harta pusaka dan perlu difaraidkan kerana hibah tersebut tidak berlaku ketika si mati masih hidup.

Oleh itu, sekiranya wujud pertikaian sesama waris dari sudut kesahannya dan ada waris yang tidak bersetuju dengan kandungan hibah tersebut, maka dinasihatkan agar hibah tersebut disahkan di Mahkamah Syariah.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 59

message user image