BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamu’alaikum  Mufti,

Sebelum saya bertanyakan soalan,  saya mahu ceritakan secara ringkas, saya adalah seorang isteri/ibu kepada 2 orang anak, anak sulong saya ialah lekaki 7 tahun manakala anak ke2 saya adalah perempuan merupakan anak angkat saya dan suami. Anak angkat tersebut adalah anak buah saya juga, iaitu anak adik perempuan saya. Saya ingin memahram kan anak angkat tersebut, dan saya telah berusaha untuk menyusukan, dan mendapatkan nasihat dari doktor cara-cara untuk dapatkan susu dari badan sendiri. Tapi malangnya setelah beberapa bulan saya makan ubat untuk menyusukan anak angkat tersebut tidak berhasil. Secara kebetulan pula, adik ipar saya iaitu adik perempuan suami saya baru selamat melahirkan anak, dan berjaya memberi susu pada anak nya, saya mohon pertolongan dari nya untuk memberi kan susu kepada anak angkat saya itu, supaya memudahkan pada masa akan datang kepada suami/anak lelaki saya dan ank angkat saya. 

Soalannya adalah, adakah boleh atau tidak adik perempuan suami saya menyusukan anak angkat tersebut? kemudian apa pula talian anak angkat saya dengan adik beradik lelaki suami saya, sekiranya adik perempuan mereka telah myusukan anak angkat saya itu, adakah mereka juga sudah jadi mahram atau suami dan anak lelaki saya sahaja? Saya ada kekeliruan disitu. Kefahaman saya, suami kepada adik ipar saya itu juga akan menjadi mahram kepada nya juga. Maaf kan saya sekiranya pemahaman saya salah.

Saya berharap pihak mufti dapat menjawab soalan saya. Terima kasih.

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Sekiranya anak angkat tersebut disusukan oleh adik perempuan kepada suami, maka anak angkat tersebut menjadi anak susuan kepada adik ipar puan. Dari sudut hubungan mahram pula, hubungan anak angkat akan menjadi mahram kepada adik ipar, suaminya, suami puan serta anak-anak kandung mereka. Hal ini kerana, anak susuan dihukumkan sama seperti anak kandung dan anak-anak kandung adik ipar puan iaitu anak-anak yang disusukan bersama akan menjadi adik-beradik susuan kepada anak angkat. Mereka akan menjadi mahram dan tidak boleh berkahwin sesama mereka. Begitu juga suami kepada adik ipar kerana dia dihukumkan sebagai bapa susuan.

Namun perlu dipastikan bahawa seseorang bayi itu sah menjadi anak susuan, hendaklah mencukupi syarat-syarat berikut:

(i) Bilangan susuan hendaklah dengan lima kali penyusuan; dan hendaklah setiap kali susuan itu mengenyangkan.

(ii) Susu yang dihisap mestilah sampai ke perut bayi; .

(iii) Umur bayi tidak melebihi dua tahun mengikut perkiraan bulan qamariah.

Adapun suami dan adik-beradik lelakinya adalah merupakan pakcik susuan kepada anak angkat tersebut dan dihukumkan sebagai mahram. Adapun hubungan mahram anak angkat tersebut bersama anak-anak lelaki puan yang lain tidak akan menjadi mahram kerana tiada hubungan susuan terus dengan anak angkat tersebut dan kerana hubungan mereka dianggap sebagai sepupu.

والله أعلم بالصواب

Sekian, Terima Kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 203

message user image